Laman Kongsiadmin@lamankongsi.com
Memaparkan catatan dengan label isu semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu semasa. Papar semua catatan

Ustaz Dihukum Gantung Sebabkan Kematian Pelajar


Alor Setar: Seorang ustaz yang juga warden asrama dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kematian pelajar berusia 11 tahun, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di Arau, Perlis empat tahun lalu.

Hukuman berkenaan diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab terhadap tertuduh, Hanif Muhammad Ali, 31, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh yang berasal dari Teluk Intan, Perak bagaimanapun kelihatan tenang sebaik keputusan itu dibacakan.

Hanif sebelum ini dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh namun dipinda kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan asal di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, keputusan di akhir pembelaan mendapati tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 KK dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Perlis Badius Zaman Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shakir Khairi.

Dalam kejadian pada 31 Mac 2011, Saiful Syazani koma selama tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, 5.40 pagi pada 3 April 2011 dipercayai akibat dipukul warden asrama terbabit ketika menyiasat satu kes kecurian di asrama Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis. - hmetro

Wanita OKU Guna Lidah Akses Internet Mahu Bantu Ibu Sara Hidup

Nursamawati Mahmud melayari internet dengan menggunakan lidah untuk menaip perkataan dan mengakses maklumat pada telefon bimbit dan komputer riba miliknya. - Foto Bernama

PENDANG: Kecacatan tangan dan kaki dialaminya tidak menjadi penghalang kepada seorang wanita berusia 30 tahun di Kampung Gelong Gajah, Tobiar di sini untuk menerokai dunia luar dengan menggunakan perkhidmatan internet.

Nursamawati Mahmud yang melayari internet dengan menggunakan lidah untuk menaip perkataan dan mengakses maklumat pada telefon bimbit dan komputer riba miliknya berhasrat membantu mempromosikan produk kicap, sos dan cuka yang diusahakan ibunya sejak 10 tahun lepas.

"Saya cuba fikirkan macam mana nak kembangkan perusahaan mak saya ini. Sebelum ini kicap, sos dan cuka yang mak buat dipasarkan di sekitar daerah Pendang dan Pokok Sena sahaja dan kalau boleh saya nak gunakan internet untuk kembangkan perniagaan keluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, dia juga akan mewujudkan blog untuk menceritakan perjalanan hidupnya yang bergelar OKU dan mengalami kecacatan itu sejak berumur setahun dan bagaimana dia belajar menggunakan laman sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan Wechat.

Prihatin dan tertarik dengan kegigihan Nursamawati, Clixster Mobile Sdn Bhd tampil menghulurkan bantuan dengan menyumbang sebuah telefon pintar dan menaja pakej internet sepanjang hayat.

Ketua Pegawai Komunikasi Jenama dan Media syarikat itu, Hazran Mohamed berkata sumbangan itu diharap dapat membantu Nursamawati menggunakan perkhidmatan internet tanpa had seumur hidupnya untuk bersosial, mengakses isu semasa dan sebagainya.

"Sumbangan yang kamia berikan ini diharap dapat dimanfaatkan untuk melakukan sesuatu untuk menceriakan dan mengubah kehidupannya," katanya.

Nursamawati yang gembira dengan sumbangan itu berkata dia mula melayari laman sesawang dan laman sosial sejak tahun 2010 selepas diperkenalkan oleh rakan baiknya.

"Sebelum ini saya malu untuk berhadapan dengan orang ramai sebab saya tak sempurna macam orang lain. Dengan adanya laman sosial saya mampu untuk berkawan dan rakan-rakan kampung dan laman sosial banyak beri semangat untuk saya teruskan kehidupan.

"Saya sekarang tak macam dulu lagi dan mahu buktikan orang kelainan upaya mampu melakukan perkara seperti orang normal," katanya yang kini mempunyai kira-kira 1,400 rakan di Facebook.

Ibunya Saudah Shaari, 52, berkata anak sulungnya itu memerlukan penjagaan sepenuhnya seperti menyuap makanan, mandi dan memakai pakaian kerana dia tidak mampu untuk melakukan sendiri.

Katanya dia amat kagum dengan kesungguhan anak sulungnya itu yang tidak mengenal erti susah untuk menguasai sesuatu walaupun terpaksa menggunakan lidah.

"Sejak pandai menggunakan internet hidup dia dah tak murung lagi seperti dulu. Keadaan banyak berubah sebab masa yang ada dihabiskan dengan melayari internet," katanya. - astroawani

Pendedahan Baru: MH370 Dibawa Ke Antartika?


BUKTI baharu mengenai kehilangan MH370 akan didedahkan dalam sebuah dokumentari siasatan tentang misteri kehilangan pesawat malang berkenaan.

Pendedahan itu akan disiarkan dalam dokumentari National Geographic bertajuk “Malaysia 370: What Happened?” yang akan bersiaran pada 8 Mac ini.

Dalam dokumentari tersebut, pakar-pakar penerbangan dilaporkan akan membentangkan teori bagaimana MH370 dengan sengaja dilencongkan oleh seseorang yang berada di dalam kokpit ke Antartika.

Laporan juga akan mendedahkan maklumat data satelit yang menunjukkan pesawat berkenaan telah terbang selama berjam-jam selepas terputus hubungan dengan menara kawalan.

Memetik laporan Mirror.uk, mereka percaya, pesawat berkenaan telah melakukan tiga lencongan selepas terputus hubungan dan bergerak menuju ke arah Antartika.

Salah seorang pakar penerbangan, Malcolm Brenner berkata, kehilangan pesawat ini telah menarik perhatian dunia dan tidak pernah menyaksikan kejadian seumpama ini sepanjang kerjaya 40 tahunnya dalam penerbangan.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang itu dilaporkan hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lepas.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Martin Dolan yang mengetuai misi pencarian pesawat ini berharap dan menjangka akan ada penemuan terbaru menjelang bulan Mei.

"Seperti yang saya sering katakan, kami tidak ada kepastian tentang apa-apa, cuma ada keyakinan bahawa ia akan ditemui suatu hari nanti.

"Ia adalah perkara yang agak kompleks sekarang dan kita menjangka untuk mempunyai maklumat terkini tetapi kami tidak meletakkan harapan untuk mengesan bangkai pesawat", katanya. - Sinar

Punca Kereta Guan Eng Ini Jadi Viral


GEORGETOWN - Kereta rasmi Ketua Menteri, Lim Guan Eng jenis Mercedes Benz S300L dengan nombor pendaftaran PG1, sekali lagi menjadi viral dalam media sosial, semalam.

Pengguna laman Facebook mengecam tindakan pemandu kereta terbabit kerana ia diparkir bersebelahan pili bomba di Lebuh King.

Difahamkan, gambar yang dimuat naik itu dikongsikan ribuan pengguna laman sosial yang turut mengaitkan tindakan ketua menteri itu sebagai salah guna kuasa selaku ketua menteri.

Sebelum ini, kereta beliau pernah menjadi viral kerana diparkir di lorong basikal di hadapan Depoh Hin Bus di Jalan Gurdwara.

Tindakan itu turut dikecam hebat pengguna laman sosial dan didesak untuk dikenakan tindakan undang-undang.

(Gambar) Keadaan Pusara Arwah TGNA Selepas Lebih Seminggu Meninggal Dunia

Sudah lebih seminggu pemergian individu yang cukup disegani dan disayangi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Seluruh Malaysia menyaksikan suatu kejadian suasana pilu yang cukup luar biasa. Pada hari 13 Februari 2015 lalu, orang ramai memenuhi setiap ruang di perkarangan rumah Tok Guru bagi mengiringi pemergian Tok Guru buat kali terakhir.

Dan sehingga semalam, pusara TGNA tidak putus-putus diziarahi oleh orang ramai dari seluruh Malaysia. Ada yang sanggup berkonvoi menggunakan motorsikal semata-mata mahu berkunjung sendiri ke pusara arwah. Sungguh bertuah TGNA.

Berikut merupakan beberapa keping gambar keadaan pusara TGNA.

Subhanallah!










Sama-sama kita sedekahkan Al-fatihah kepada beliau dan bersyukur kerana berkesempatan melihat kasih sayang Allah ini.

Gambar: Oh!Media

Dengan Sekelip Mata.. Tembelang Menteri Ini Terbongkar


Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh memperbodohkan dirinya dengan dakwaan sistem pendidikan tinggi Malaysia setanding dengan negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Jerman, kata ahli Parlimen DAP hari ini.

Mereka berkata, bukti yang diberikan bagi menyokong dakwaannya - pelajar asing membentuk 10% daripada pelajar di institusi pendidikan tinggi negara ini - menggelikan hati, dan kenyataannya yang mendorong komen negatif dan sinis itu sukar dipercayai.

"Saya mahu percaya Idris Jusoh bukan sekadar berjenaka, walaupun seluruh warga Internet menyambut kenyataannya dengan gelak ketawa. Saya mahu percaya Idris tidak sekadar syok sendiri, atau syok bersama rakan jemaah menteri.

Saya teringin mahu rasa bangga dengan taraf pendidikan tinggi negara; sekiranya apa yang dikatakan Idris adalah benar, tiada yang benar selain yang benar belaka. Namun ternyata sukar bagi saya untuk mempercayai percakapan Idris," kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming pula berkata, sesuatu yang bahaya apabila membuat tanggapan sistem pendidikan negara bertaraf dunia dan setanding dengan negara seperti United Kingdom dan Australia hanya kerana Malaysia mempunyai sebilangan besar pelajar asing.

"Dengan pemikiran sebegitu, adakah bermakna jika kita mempunyai peratusan pelajar asing yang lebih besar di universiti kita, taraf pendidikan kita melebihi di UK dan Australia?" soalnya.

Semalam, Bernama melaporkan Idris Jusoh sebagai berkata, pendidikan tinggi negara kini setaraf dengan di negara maju termasuk UK, Jerman dan Australia daripada segi kualiti pendidikan.

Katanya, ia dibuktikan dengan terdapat lebih 135,000 pelajar asing sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti tempatan yang meliputi 10% daripada jumlah pelajar yang berada di pusat pengajian tinggi di negara ini.

Lim berkata, Idris sewajarnya memberikan dua fakta bagi meyakinkan orang ramai tentang perkara itu."Pertama, kemukakan penilaian oleh institusi antarabangsa yang menunjukkan universiti tempatan berada di kedudukan yang sama dengan universiti di UK, Jerman dan Australia.

"Kedua, saya minta semua 35 menteri Kabinet mendedahkan di mana anak mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Ke universiti awam tempatan, atau universiti asing," katanya.Jika beliau gagal mengemukakan bukti itu, Lim berkata, Idris tiada pilihan lain kecuali meminta maaf serta menarik balik kenyataannya.

Kedua-dua Lim dan Ong memetik ranking QS World University 2014 yang menunjukkan Malaysia masih jauh ditinggalkan institusi pengajian tinggi di UK dan Australia."Universiti Malaya satu-satunya universiti Malaysia yang berada dalam ranking 200 teratas, menduduki tempat ke-151, berbanding 19 universiti UK, 8 universiti Australia dan tiga universiti Jerman yang berada dalam kedudukan 100 teratas," kata Ong .

Ong berkata, pelajar asing membuat keputusan belajar di luar negara kerana beberapa faktor termasuk kos sara hidup, keperluan kemasukan, program yang disediakan, bahasa pengantar, kemudahan mendapatkan visa pelajar, peluang biasiswa, kualiti universiti dan bilangan tempat yang ditawarkan kepada pelajar asing.

Katanya, jika Idris benar-benar percaya sistem pendidikan negara ini setanding negara tersebut, dia perlu kemukakan senarai pelajar asing yang diterima masuk Cambridge atau Oxford University, Imperial College, Kolej Universiti London atau Australia National University tetapi menolak kerana mahu belajar di Malaysia.

"Saya sama sekali tidak berniat memandang rendah universiti tempatan kita. Bagi sesetengah program, seperti perubatan dan undang-undang contohnya, mungkin lebih sukar untuk diterima masuk ke program ini di universiti awam kita berbanding universiti luar negara.

"Tetapi universiti tempatan kita juga akan mengaku, masih banyak yang perlu mereka perbaiki daripada segi kualiti pengajaran, prasarana dan dana untuk penyelidikan, sebelum mereka mencapai taraf universiti di UK dan Australia," kata Ong.

sumber