Sunday, 2 July 2017

Ustaz Azhar Idrus Jawab Makhluk Penghuni Bumi Sebelum Nabi Adam


(Foto hiasan)

Dalam satu sesi soal jawab, seorang pendengar mengutarakan satu soalan kepada Ustaz Azhar Idrus mengenai ilmu alam, berkenaan siapakah makhluk yang menghuni bumi sebelum Nabi Adam.

Persoalan ini berkait rapat dengan alam ghaib, iaitu sesuatu yang tidak boleh dicapai oleh pancaindera manusia, maka jawapan tidak boleh diberikan sebarangan melainkan terdapat Nas daripada al-Quran atau Hadis sebagai bukti.

Dirakamkan dalam al-Quran, Allah berfirman, "Wahai Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan manusia khalifah di bumi." Ketika Allah berkata ayat ini, manusia tidak lagi diturunkan ke bumi.


Lalu Malaikat bertanya, "Adakah Engkau hendak meletakkan sekali lagi makhluk yang akan melakukan kerosakan dan berbunuh-bunuhan?" Menurut ulamak, pertanyaan malaikat ini adalah merujuk kepada bangsa jin, ini bermakna bangsa jin adalah makhluk yang mendiami bumi sebelum Nabi Adam.

Pertanyaan malaikat ini bukanlah bermakna mereka ragu-ragu kepada Allah kerana 
Malaikat memang diciptakan dengan sifat mentauhidkan Allah, tetapi mereka ragu-ragu kepada makhluk yang melakukan kerosakan dan suka membunuh seperti sebelum ini. 

Apabila diturunkan Nabi Adam dan Siti Hawa ke bumi, maka dihalau semua jin ke bukit dan laut, menurut kitab hadis.

Kalau jin dihalau ke bukit dan laut, bagaimana pula jin yang kita jarang-jarang jumpa tu?

"Itu adalah saki baki."

Bagaimana pula jin yang masuk ke rumah kita malam-malam dan makan tulang?

"Itu adalah jin Islam."

Bagaimana pula ketika kita singgah solat di mana-mana perhentian pada jam 3 pagi, dan ketika solat kita dapati seperti ada sesuatu yang mengikuti gerakan solat kita dari belakang?

"Itu adalah jin Islam, hanya jin kafir yang dihalau ke bukit, gunung, hutan atau laut."

Sebab itulah dalam Kitab Azkar, Rasulullah berkata sekiranya kamu pergi ke laut atau bukit, hendaklah kamu membaca doa untuk jaga dari gangguan jin jahat.

Apa yang kami kongsikan di atas adalah seperti dipetik dalam sebuah rakaman ceramah Ustaz Azhar Idrus.


Jadi, membincangkan kehidupan sebelum Nabi Adam memang sesuatu yang amat misteri. Namun tidak ada salahnya andai kewujudan kehidupan itu ditelusuri keterangan sebagai sebuah kesimpulan untuk menunjukkan sesuatu kehidupan yang pernah ada sebelumnya.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->