Sunday, 2 July 2017

Kenyataan Al-Sisi Mengenai Rampasan Kuasa Dari Morsi Cetus Kemarahan Umat Islam



Jumaat lalu, Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir di atas peristiwa yang disebut Revolusi 30 Jun - rampasan kuasa tentera yang dipimpinnya - dan mendakwa kudeta ini telah menamatkan "fasisme" (diktator) di negara itu, lapor Middle East Monitor.

"Hari berlalu, tetapi ingatan hari-hari kegemilangan sejarah kita kekal abadi dalam fikiran kita," katanya dalam ucapan yang menandakan ulang tahun keempat rampasan kuasa yang dilakukannya terhadap Presiden Mesir, Mohamed Morsi .

"Hari-hari seperti itu membuktikan bahawa rakyat kita mempunyai kesedaran lebih daripada mereka yang merancang untuk mencuri kehendak mereka."

Negara mempunyai kehendak yang lebih kuat daripada mereka yang mahu membahayakannya, tambahnya.

"Pada hari ini, semua orang Mesir mencipta legenda tersendiri untuk melindungi negara, identiti, kemerdekaan dan kebebasannya."

Presiden Al-Sisi, yang menjadi menteri pertahanan di bawah pemerintahan yang dipimpin oleh Morsi, menegaskan bahawa semua organisasi kebangsaan Mesir telah menyokong revolusinya "melawan fasisme."

Pada 3 Julai 2013, Ketua Tentera Mesir, Al-Sisi mengetuai satu pakatan untuk menggulingkan Presiden Mesir, Mohamed Morsi, dari kuasa. Langkah itu dibuat selepas penunjuk perasaan Mesir berterusan menuntut pengakhiran pentadbiran Morsi dan menggesa agar Pilihan raya Presiden diadakan lebih awal.

Tentera menangkap Presiden Morsi dan beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin, dan mengisytiharkan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan Mesir, Adly Mansour sebagai presiden sementara Mesir, sebelum kemudian digantikan oleh Abdel Fattah Al-Sisi.

Terdapat pelbagai tindak balas antarabangsa dengan peristiwa tersebut. Kebanyakan pemimpin Arab secara amnya menyokong atau berkecuali, kecuali Tunisia dan Qatar yang mengutuk tindakan tentera Mesir. AS menolak untuk menggambarkan tindakan itu sebagai rampasan kuasa.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->