Monday, 10 July 2017

Hasil Bedah Siasat Dedah Punca Sebenar Kematian Adik Thaqif



Beberapa bulan lalu, Malaysia digemparkan dengan satu kes seorang pelajar tahfiz berusia 11 tahun yang dipotong kaki dikatakan akibat dipukul oleh pembantu warden di sebuah sekolah agama di negeri Johor meninggal dunia.

Susulan bedah siasat ke atas Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi menunjukkan bahawa pelajar sekolah tahfiz berkenaan sebenarnya meninggal dunia akibat leptospirosis, bukan dari kecederaan akibat dipukul oleh pembantu warden sekolah.

Menurut BH Online yang memetik Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai berkata bahawa bedah siasat dilakukan pada hari yang sama lelaki berusia 11 tahun itu meninggal dunia pada 26 April lepas.

"Ia dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya membabitkan kegagalan organ untuk berfungsi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Beberapa sampel tisu dan darah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa.

"Susulan daripada kejadian itu juga, satu Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat kes ini," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa yang menyiasat penyebab kematian adik Thaqif itu melibatkan Pakar Perunding Forensik yang mahir dan berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes rumit.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata berdasarkan laporan perubatan itu, pihaknya akan mengemaskini kertas siasatan.

"Polis juga akan mendapat arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Sebelum ini tular apabila adik Thaqif didakwa telah dipukul oleh seorang pembantu warden di asramanya, bagaimanapun pembantu warden itu dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000 pada 3 Mei lalu.

Pembantu warden berkenaan telah ditahan pada 22 April lalu bagi membantu siasatan terhadap dakwaan memukul Mohamad Thaqif mengikut Seksyen 31(1) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun, polis kemudian mengklasifikasikan kes kematian itu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sumber: Berita Harian, Harian Metro

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->