Wednesday, 5 July 2017

Dipanjangkan Tempoh 48 Jam, Qatar Beri Respon Terhadap Tuntutan Arab Saudi


(Foto: Arabnews.com)

Kerajaan Qatar telah memberikan respon kepada senarai 13 tuntutan dari Arab Saudi dan tiga negara Arab lain yang menghentikan hubungan dengannya dan mengenakan sekatan tanah, udara dan laut di tengah-tengah krisis diplomatik.

Menurut Kuwait News Agency, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, Menteri Luar Negeri Qatar, diterima oleh Kuwait Emir Sheikh Sabah Al Ahmad Al Sabah pada hari Isnin untuk menyerahkan surat daripada Emir Qatar, berhubung krisis yang berlaku di Teluk.


Kuwait bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan krisis ini. Butiran lanjut mengenai respon Qatar masih belum didedahkan. 

Sebelum ini, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir telah mengumumkan lanjutan masa selama 48 jam.

Hal itu dilakukan agar Qatar mempunyai masa untuk menerima 13 tuntutan yang mereka dikeluarkan pada 22 Jun lalu, demi menyelesaikan krisis diplomatik di sana.

Kenyataan bersama menyatakan, Arab Saudi dan negara-negara Teluk lain, memanjangkan tempoh tuntutan yang seharusnya telah berakhir pada hari Ahad.

Tuntutan tersebut antara lain mendesak Doha menamatkan sokongan untuk Ikhwanul Muslimin, menutup Al-Jazeera, menurunkan hubungan diplomatik dengan Iran, dan menutup sebuah pengkalan tentera Turki di negara tersebut.

Sheikh Mohammed sebelum ini berkata bahawa senarai tuntutan tersebut "ditolak".

Peguam Britain untuk Qatar mengecam tuntutan tersebut yang disifatkan sebagai penghinaan terhadap undang-undang antarabangsa.

Sebelum ini, Menteri Luar Negeri Saudi Adel al-Jubeir menyatakan harapannya tentang adanya perkembangan positif supaya dapat menyelesaikan krisis.

Jubeir mengungkapkan hal itu dalam sebuah sidang akhbar bersama rakannya dari Jerman, Sigmar Gabriel, di Jeddah.

Jika 13 senarai tuntutan tersebut dipenuhi, maka sekatan terhadap negeri kecil itu bakal berakhir.

Arab Saudi dan sekutunya juga bertegas syarat-syarat yang mereka kemukakan tidak boleh dirundingkan lagi.

Minggu lalu, keempat-empat negara yang memboikot Qatar ini bertemu di Kaherah, Mesir untuk membincangkan langkah selanjutnya.

Duta Besar Emiriah Arab ke Rusia, Omar Ghobash, menyebut Qatar boleh saja menghadapi sekatan baru jika tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->