Tuesday, 11 July 2017

Dihalau Dari Wilayah Saudi, Ratusan Ekor Unta Qatar Mati Di Sempadan


(Foto: Reuters)

DOHA - Krisis diplomatik antara Qatar dan negara-negara jirannya bukan hanya mempengaruhi manusia tetapi juga unta.

Beratus-ratus ekor unta mati ketika mereka terperangkap di sempadan Qatar dan Arab Saudi tanpa persediaan makanan dan air yang mencukupi.

Beratus-ratus ekor unta ini mati selepas para pemiliknya, yang berasal dari Qatar, beberapa minggu lalu hanya diberi masa satu jam untuk meninggalkan ladang mereka di wilayah Arab Saudi.

Pada masa itu, sebenarnya para penternak ini diusir bersama haiwan-haiwan kesayangan mereka yang berjumlah kira-kira 15,000 ekor unta dan 10,000 ekor biri-biri.

Pada masa itu kira-kira 9,000 ekor unta dipaksa melintasi sempadan Qatar dan Arab Saudi dalam masa 36 jam.

Qatar yang hanya mempunyai wilayah sekitar 11,000 kilometer persegi menjadikan ia tidak cukup luas untuk didiami ribuan ekor unta dan biri-biri.

Disebabkan itu, para penternak Qatar memilih menggembalakan haiwan-haiwan itu di Arab Saudi yang mempunyai wilayah dengan luas lebih daripada 2 juta kilometer persegi.

"Saya baru kembali dari Arab Saudi dan saya melihat lebih daripada beratus-ratus unta mati di jalanan," kata seorang penternak asal Qatar, Hussein al-Marri.

Penternak lain yang tidak mahu disebutkan namanya mengatakan, dia kehilangan 50 ekor biri-biri, lima ekor unta, dan ada 10 lain hilang.

Sebuah rakaman video menunjukkan, haiwan-haiwan itu didorong ke sebuah kandang besar selepas jam pembukaan sempadan terhad yang hanya menyebabkan beberapa ratus sahaja boleh menyeberang setiap hari, dan banyak yang mati akibat dahaga atau kecederaan yang tidak dirawat.

Bulan lalu Arab Saudi dan sekutunya memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar kerana menganggap negeri kecil itu menyokong keganasan dan terlalu dekat dengan Iran.

Sebelum menutup sempadan daratnya dengan Qatar, kerajaan Saudi memerintahan semua warga Qatar meninggalkan negeri itu termasuk para penternak nomad dan haiwan-haiwan ternakan mereka.

Banyak haiwan ternakan yang terselamat selepas Kementerian Alam Sekitar Arab Saudi menyediakan perlindungan kecemasan penuh dengan air bersih dan makanan untuk lebih dari 8,000 ekor unta Qatar.

Sebahagian besar unta-unta ini digunakan untuk diambil susunya dan dibiakkan untuk kepentingan perlumbaan unta yang sangat popular di Qatar.

Masih terdapat 150,000 unta Qatar di Arab Saudi dan tidak jelas bila atau jika unta-unta ini akan diusir.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->