Tuesday, 18 July 2017

50 Bayi Palestin Lahir Hasil Sperma Yang Diseludup Dari Penjara Israel


(Foto: IMEMC)

Seorang tahanan Palestin menjadi bapa seorang budak lelaki, kelmarin, selepas dia menyeludup spermanya keluar dari penjara Gilboa Israel, tahun lalu, Suruhanjaya Hal Ehwal Banduan Palestin mendedahkan, menurut laporan IMEMC News.

Ketua jawatankuasa tersebut, Amjad Abu Assab, mengatakan bayi yang diberi nama Ali yang baru lahir itu adalah 'duta kebebasan'.

Keluarga banduan Ahmad Shaheen menyatakan kebahagiaan mereka dengan kelahiran baru bayi mereka.

Shaheen dijatuhkan hukuman penjara 22 tahun, yang mana dia telah jalani selama 16 tahun. Dia ditangkap pada 22 Julai 2001, meninggalkan isterinya yang mengandung. Dia melahirkan anaknya, Omar, pada 25 Disember 2001, lima bulan selepas Shaheen ditahan.

Menurut Pusat Pengajian Tahanan Palestin, hingga kini, 50 bayi telah dilahirkan selepas sperma diseludup keluar dari penjara Israel.

"23 banduan berusaha mereproduksi melalui penyeludupan sperma pada awal tahun 2015, dan mereka mempunyai 30 anak," kata jurucakap pusat itu, Riyad Al-Ashqar, hari ini.

Beliau menambah: "Bilangan ini meningkat pada awal 2016 menjadi 28 tahanan mempunyai 38 anak. Jumlah itu meningkat lagi sehingga 39 tahanan mempunyai 50 anak. "

Beliau menegaskan bahawa percubaan pertama untuk menyeludup sperma ialah oleh tahanan Ammar Al-Zein, di mana isterinya melahirkan anak sulung mereka, Mohannad, menerusi kaedah ini pada 13 Ogos 2012.

Banduan Iyad Mahlous, dari Jerusalem, yang menjalani hukuman penjara seumur hidup, menjadi bapa kepada tiga bayi kembar setelah spermanya diseludup keluar dari penjara.

Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa pendudukan Israel telah berulang kali cuba menghalang penyeludupan sperma, dan telah mengenakan pelbagai langkah dan sekatan terhadap tahanan, yang semuanya untuk menghalang penyeludukan sperma.

Al-Ashqar berkata: "Ini mencerminkan kemenangan moral bagi para tahanan dan menunjukkan keinginan dan harapan mereka yang kuat, yang tidak akan pudar atau hilang.

"Mereka telah mengatasi semua tembok, sempadan dan kawat berduri, walaupun kekerasan penjaga penjara, keadaan sukar dan tahun-tahun yang berlalu tanpa kebebasan."

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->