Monday, 5 June 2017

Respon Kementerian Kesihatan Berhubung Isu Jenazah Mualaf Dibakar


(Foto: Harian Metro)

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa terdapat kesilapan dalam pengurusan mayat seorang mualaf berusia 74 tahun di Hospital Kajang semalam, lapor NST.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan juga sedang dijalankan oleh pihak hospital dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk mengenalpasti punca yang menyebabkan berlaku kesilapan.

Akhbar Harian Metro melaporkan bahawa terdapat kekeliruan berlaku apabila jenazah Hassan Abdullah atau Lin Ah San @ Lim Ah San tersalah serah kerana nama itu dikatakan hampir menyamai dengan nama, Chu Kim San, yang juga dalam lingkungan 70-an.

Jenazah Hassan telah diserahkan oleh Unik Forensik Hospital Kajang kepada sebuah badan kebajikan dan dilaporkan bahawa mayatnya telah dibakar semalam.

Kesilapan itu baru disedari apabila Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia datang untuk menuntut mayat Hassan, yang merupakan seorang penghuni rumah tersebut.

Dr Noor Hisham yang kecewa dengan kejadian itu berkata kementerian memandang serius kesilapan itu.


"KKM berpendirian bahawa ianya tidak sewajarnya berlaku di mana-mana hospital kerana sememangnya pihak hospital dan Unit Forensik sudahpun mempunyai garis panduan serta Standard Operating Procedure (SOP) of Forensic Medicine; di mana ianya telah menggariskan tatacara penyerahan mayat kepada waris.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan yang tidak mematuhi SOP dan garis panduan," katanya.

Beliau berkata abu jenazah Hassan telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan rumah kebajikan berkenaan.

Kementerian juga telah mengeluarkan arahan kepada pihak hospital untuk penambahbaikan segera untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku lagi pada masa hadapan.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->