Friday, 16 June 2017

Menteri Turki Dedah 'Hasrat Sebenar' Qatar Dalam Perbincangan Di Kuwait


(Foto: Reuters)

Ketika perselisihan di antara Qatar dan Arab Teluk yang diketuai Saudi memasuki minggu kedua, Mevlut Cavusoglu, Menteri Luar Turki, berkata bahawa pihak berkuasa Qatar tidak mahu krisis diplomatik untuk berlanjutan, lapor Al-Jazeera.

Cavusoglu mengadakan perbincangan di Kuwait dengan rakan sejawatannya Sheikh Sabah Khaled Al Sabah pada hari Khamis untuk menggesa usaha pengantaraan bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian itu.

Beliau berkata kesungguhan untuk menyelesaikan krisis itu dilihat dalam mesyuarat bersama pegawai-pegawai Qatar. Katanya, pegawai Qatar mahu bukti terhadap tuduhan negara mereka.

"Kami berkongsi pandangan kami untuk menyelesaikan masalah ini dan kekal tidak berat sebelah, tetapi apa yang salah kita kata tanpa teragak-agak," katanya sekembalinya ke Ankara dari Kuwait pada Khamis.

"Apa masalahnya, apakah tuduhan dan apakah buktinya? Kita mesti mengutarakan ini di dalam usaha untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

"Masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan
 ugutan  dan sekatan yang berlebihan.

"Kita perlu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dengan melalui proses mengurangkan krisis tanpa menambahkan ketegangan lagi."

Cavusoglu dijangka melawat Arab Saudi pada hari Jumaat dan berkongsi "pandangan ikhlas" Turki mengenai krisis semasa mesyuarat dengan pegawai-pegawai Saudi.

Qatar menghadapi pemulauan ekonomi dan diplomatik oleh Arab Saudi dan sekutu serantaunya.

Mereka menuduh Qatar "membiayai keganasan", mencetuskan pergolakan serantau dan mendekati musuh mereka, Iran, namun Qatar menafikan semua tuduhan.

Sebagai tindak balas kepada dakwaan bahawa Qatar berdiri dengan Iran, Cavusoglu berkata dakwaan ini adalah tidak benar, sambil menambah bahawa tiada negara di rantau ini menentang keras amalan Iran seperti Qatar, Turki dan Arab Saudi.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->