Friday, 16 June 2017

Luahan Menghayat Hati Ibu Pelajar UPNM Yang Mati Didera Dengan Kejam


Foto Asyraf Hamzah (nst.com.my)


"Saya harap saya boleh berada di sana di mahkamah untuk melihat wajah mereka. Saya mahu mereka tahu kemarahan dan kegeraman yang saya rasa, " lapor NST.

Itulah kata-kata ibu mangsa, setelah mendengar pertuduhan mereka yang dituduh membunuh anak sulung daripada empat anaknya, Zulfarhan Osman Zulkarnain, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan membuli sehingga membawa kematian.

Hawa Osman, 54, masih terasa kehilangan anaknya. Tetapi, apa yang dia mahu sekarang ialah keadilan.

"Biar orang-orang yang bertanggungjawab membunuh anak saya menerima pembalasan yang setimpal. Adakah mereka tidak berasa apa-apa apabila mereka menyeksa anak saya dengan cara itu?

"Saya berharap mereka menerima hukuman yang sepatutnya," katanya ketika ditanya mengenai lima pelajar universiti yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan membunuh Zulfarhan.

Pelajar UPNM tahun ketiga itu meninggal dunia pada 1 Jun pada pukul 9 malam di Hospital Serdang kerana kecederaan yang dialaminya akibat diserang oleh sekumpulan pelajar yang dikatakan telah mengesyaki mangsa mencuri komputer riba.

Hawa, yang merupakan seorang pembantu pentadbiran di SMK Aminuddin Baki di sini, berkata dia menerima tragedi itu sebagai kehendak Allah. Tetapi, dia mempersoalkan keadaan yang membawa kepada serangan kejam yang membunuh anaknya.

"Apakah punca kejadian ini hingga arwah diperlakukan sedemikian rupa, didera dengan penuh kejam tanpa simpati?” katanya.

"Saya boleh terima tragedi (kehilangan anak saya), tetapi cara mereka menyakiti dia adalah tidak berperikemanusiaan. Dia mengalami 80 peratus kesan melecur tahap dua dan tiga . Adakah mereka tidak mempunyai apa-apa simpati?

"Setidak-tidaknya, jika sesuatu seperti itu berlaku kepada seseorang, mereka sepatutnya menghantar orang itu ke hospital untuk rawatan. Ni langsung tidak berhati perut.

"Saya harap mereka mengekalkan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kerana membunuh). Keluarga saya mahu keadilan untuk kematian anak saya," katanya.

Dalam menggambarkan Zulfarhan, Hawa berkata dia tidak pernah menganggu sesiapa dan sentiasa menghulurkan tangan apabila orang meminta bantuan.

Ibu mangsa menambah bahawa dia telah memendam banyak harapan untuk anak sulungnya itu kerana mangsa mahu menjadi seorang pelaut dan bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera.

"Dia adalah harapan keluarga. Saya mahu melihat dia berjaya. Saya mahu melihat dia berkahwin. "

Bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 53, berkata dia lega kerana lima daripada mereka telah didakwa, tetapi dia tidak gembira.

"Saya lega (tetapi) saya tidak gembira... Tidak ada apa yang boleh membawa anak saya kembali. Saya gembira polis menyiasat dengan cepat, " katanya.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->