Wednesday, 7 June 2017

Krisis Qatar: Turki Sekali Lagi Bersuara Tegas Terhadap Arab Saudi


(Foto: Reuters)

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggelarkan tindakan terhadap Qatar sebagai 'satu kesilapan besar' yang 'tidak berperikemanusiaan dan bertentangan nilai-nilai Islam,' lapor Al-Jazeera.

Beliau menggesa Arab Saudi untuk mengambil peranan utama dalam menyelesaikan krisis yang sedang berlaku di kalangan negara-negara Teluk Arab.

"Qatar telah menunjukkan pendirian yang paling tegas terhadap organisasi pengganas Daesh bersama Turki. Tindakan yang tidak adil kepada Qatar melalui kempen kotor tidak berguna," katanya ketika berucapan dalam parlimen.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Mesir dan beberapa negara lain memutuskan hubungan dengan Qatar minggu lalu, menuduh negara tersebut menyokong kumpulan-kumpulan bersenjata dan Iran. Qatar menolak tuduhan.

Erdogan berkata bahawa nampaknya telah muncul beberapa negara yang membuat keputusan untuk menjatuhkan 'hukuman mati' terhadap Qatar dan menggesa Arab Saudi untuk mempertimbangkan semula tindakan keras terhadap negara Teluk itu.

"Raja Arab Saudi, sebagai pemimpin Teluk, perlu menyelesaikan isu ini. Saya fikir bahawa beliau patut mengetuai jalan ke arah menyelesaikan krisis ini," kata Erdogan kepada ahli-ahli parti pemerintahnya, Parti Keadilan dan Pembangunan di Ankara.

"Satu kesilapan yang sangat besar sedang dibuat ke atas Qatar. Mengasingkan sebuah negara di semua kawasan adalah tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Ia seolah-olah keputusan hukuman mati yang telah diambil untuk Qatar."

Ankara seperti cuba untuk melibatkan 'pelakon' lain untuk menamatkan pengasingan Qatar sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam.

Turki telah mengekalkan hubungan baik dengan Qatar serta beberapa negara jiran Teluk Arab.

Amnesty International juga mengkritik sekatan di Qatar, berkata ia telah menyebabkan perpecahan keluarga dan memusnahkan kehidupan dan pendidikan rakyat.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->