Tuesday, 20 June 2017

Insiden Umat Islam Dilanggar Selepas Tarawih: Tindakan Imam Ini Buat Ramai Kagum



Tindakan seorang Imam mendapat pujian pengguna internet kerana melindungi suspek yang terlibat dalam serangan berhampiran Masjid Finsbury Park, London dari kemarahan orang ramai selepas insiden melanggar jemaah yang selesai solat tarawih. Seorang meninggal dan 10 yang lain mengalami cedera akibat insiden itu.

Lapan orang dibawa ke hospital akibat "serangan pengganas" itu, kata polis selepas sebuah van yang dipandu oleh seorang lelaki sengaja melanggar jemaah yang baru selesai beribadah. Seorang suspek lelaki berusia 48 tahun ditahan kerana cubaan membunuh. Polis mengesahkan semua mangsa adalah Muslim.

Seorang saksi bernama Abdul Rahman berkata dia mendengar pemandu van itu mengatakan bahawa dia ingin membunuh semua Muslim.

Saksi lain berkata suspek penyerang itu mungkin boleh cedera parah atau terbunuh jika Imam Mohammed Mahmoud tidak melindunginya daripada dibelasah orang ramai.

"Dia cuba melarikan diri tetapi kami menangkapnya. Dia boleh mati kerana ramai orang yang memukulnya namun Imam datang dan berkata, 'jangan pukul lagi, jaga dia sampai polis datang," kata saksi Abdul kepada the Independent.

"Apabila kami menangkapnya, dia ketawa dan tersenyum dan melaungkan tentang Muslim. Saya tidak mahu kata apa yang dia kata namun dia mengatakan perkara yang membuat orang ingin memukulnya," tambahnya.

Imam Mohammed Mahmoud menerangkan tindakannya dengan mengatakan bahawa "semua kehidupan adalah suci" dan beliau ingin "memadamkan api kemarahan".


Ramai pengguna media sosial memuji tindakan Imam Mahmoud termasuk penulis buku Harry Potter, JK Rowling.

"Keberanian luar biasa dan tindakan terpuji ini membuat saya menangis pagi ini. Saya harap imam ini mendapat pengiktirafan yang selayaknya dia dapatkan," kata Rowling.

"Bagi saya dialah orang hebat yang mengutamakan nyawa orang," tulis yang lain.

Toufik Kacimi, Ketua Muslim Welfare House, mengucapkan terima kasih kepada Imam Mohammed Mahmoud yang berani. Keberaniannya yang menenangkan keadaan serta-merta selepas insiden itu telah menghalang kecederaan dan kemungkinan kehilangan nyawa lagi.

Majlis Muslim Britain (MCB) mengatakan kejadian ini yang paling teruk setakat ini berkaitan insiden Islamophobia.

Datuk Bandar London Sadiq Khan berkata beliau dapat memahami mengapa "keadaan menjadi sangat panas" selepas serangan itu.

"Imam Mohammed melakukan tugas yang sangat baik dalam menenangkan keadaan dan memastikan keadilan dapat dilakukan seperti yang perlu dilakukan melalui proses yang sewajarnya, dan bukannya dengan mengambil tindakan undang-undang dengan tangan mereka sendiri," katanya.

"Ini komuniti yang baik, mereka berkumpul, mereka bekerja rapat antara satu sama lain dan tindakan Imam Mohammed adalah apa yang saya harapkan dari seorang pemimpin yang baik dan pemimpin Islam yang baik."

Wartawan BBC Dominic Casciani, mengatakan insiden ini bukan yang pertama berlaku di Britain dengan Muslim sebagai sasaran tindakan keganasan.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->