Tuesday, 30 May 2017

Luahan Hati Ibu Lelaki Yang Mati Dibelasah Kerana Tuduhan Cabul


(Foto: Harian Metro)

"Sampai hati depa (mereka) pukul anak mak cik. Kalau betul dia salah, serah saja pada polis bukannya pukul sampai mati. Mak cik tak boleh terima apa yang mereka buat sehingga anak diperlakukan seperti yang dilihat dalam rakaman video itu."

Begitulah luahan hati Rusni Saad, 58, ibu kepada lelaki berusia 31 tahun yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya selepas dipukul hingga tidak sedarkan diri di Alor Setar kerana didakwa mencabul seorang wanita, lapor Harian Metro.

Lelaki itu berada dalam keadaan koma selepas dipukul beramai-ramai pada hari Ahad lalu sebelum diserahkan kepada polis namun terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat keadaannya yang parah.

Rusni berkata, dia tidak menyangka anak keempat daripada tujuh beradik itu diperlakukan sedemikian sedangkan dia mengenali perilaku anaknya.

Katanya, dia dan anak-anaknya yang lain telah melihat rakaman video yang viral di internet dan menganggap apa yang terjadi cuma salah faham.

Kematian lelaki yang berusia 31 tahun itu telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar , Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin. 


Mohd Rozi berkata, lima orang telah ditahan berhubung kejadian itu termasuk seorang wanita yang didakwa dicabul.

Beliau berkata kes itu kini diklasifikasikan sebagai bunuh.

Menurut laporan Bernama sebelum ini, lelaki itu dipukul oleh sekumpulan individu yang mendengar jeritan daripada seorang wanita yang datang dari tandas sebuah kompleks beli-belah di Jalan Putra, Alor Setar.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->