Saturday, 3 December 2016

Myanmar Ancam Najib Jika Sertai Perhimpunan Solidariti Rohingya



Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk menghadiri Perhimpunan Solidariti Rohingya esok.

Beliau berkata, walaupun diancam oleh kerajaan Myanmar berikutan keputusan itu, namun kerana belas kasihan terhadap orang Islam yang lain beliau tidak gentar dengan ancaman tersebut.

"Semalam, pejabat Presiden Myanmar mengeluarkan kenyataan, jika saya menghadiri perhimpunan esok, mereka akan menganggap saya sebagai campur tangan dalam hal Myanmar.

"Ini tidak ada kena mengena dengan campur tangan dalam urusan mereka, ini adalah mengenai mempertahankan nilai kemanusiaan.

"Insya-ALLAH Najib Razak akan menghadiri, ini adalah pendirian kita," katanya dalam ucapan penggulungan pada akhir Perhimpunan Agung Umno 2016, hari ini.

Sementara itu, Najib mengingatkan Myanmar bahawa tindakan mereka menindas Rohingya tidak boleh diterima dalam komuniti Asean.

"Asean tidak boleh berkompromi dengan kekejaman," katanya.

Oleh itu Najib menggesa kerajaan Myanmar untuk mengubah sikap mereka dalam menangani isu Rohingya.

"Ubah sikap, buat perkara yang betul," katanya.

Esok perhimpunan besar-besaran mengenai isu Rohingya akan diadakan di ibu negara.

Ia turut dihadiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.



Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->