Friday, 13 March 2015

Audit 1MDB Saja Tidak Cukup, Polis Patut Siasat - Dr. Mahathir



Terdapat keperluan untuk siasatan forensik polis dilakukan terhadap mereka yang dikaitkan dengan tuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, sambil menambah bahawa audit semata-mata tidak cukup.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pengauditan kewangan yang ingin dilakukan Ketua Audit Negara sebagaimana yang diperintahkan oleh Putrajaya awal minggu ini tidak cukup untuk mendedahkan kebenaran di sebalik yang berlaku dalam syarikat pelaburan strategik itu.

"Apa yang diperlukan adalah lebih daripada audit biasa buku akaun. Apa yang diperlukan adalah satu siasatan forensik oleh pihak polis ke atas tuduhan yang dibuat terhadap beberapa orang yang terlibat dalam menguruskan kewangan 1MDB," katanya dalam satu posting blog hari ini.

Tambahnya, jika ini tidak dilakukan segera, sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) akan terus jatuh.

"Dan apabila ini berlaku, ada kemungkinan kuat bahawa BN akan kalah pilihan raya umum pada 2018," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata lagi bahawa perlantikan Ketua Audit Negara untuk mengaudit buku 1MDB tidak akan menjawab banyak soalan yang dikemukakan oleh rakyat.

“Ulasan semua tuduhan adalah fitnah tidak mencukupi. Mereka yang mendakwa ada penyelewengan dalam pengurusan 1MDB berani membuat kenyataan terhadap kerajaan dan individu tertentu walaupun terdedah kepada tindakan saman malu.

“1MDB bukan buat hutang biasa seperti kerajaan yang biasanya berjumlah hanya ratusan juta saja. 1MDB sudah hutang berbilion ringgit. Walaupun 1MDB bukan kerajaan tetapi ia badan yang ditubuhkan dan dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya dengan modal sebanyak RM1 juta.

“Oleh itu kerajaan tidak boleh dakwa ini masalah syarikat dan bukan masalah kerajaan,” katanya lagi.


Beliau memberi amaran kepada kerajaan persekutuan pimpinan BN bahawa jika siasatan polis tidak dilakukan tidak lama lagi, gabungan itu akan kalah pilihan raya umum akan datang.

"Ada kemungkinan besar bahawa BN akan kalah dalam 
pilihan raya umum pada 2018, walaupun pada hakikatnya semua pemimpin Umno telah menyatakan sokongan, menerima dan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan," katanya, merujuk kepada perhimpunan oleh Ketua Umno Bahagian untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Najib hujung minggu lalu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata bahawa beliau tidak tahu bagaimana Najib menjelaskan tentang isu 1MDB, tetapi berkata segala tohmahan tidak patut dibiarkan kerana ia akan dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

"Rakyat masih tidak berpuas hati dengan 1MDB. Mereka bercakap mengenainya di mana-mana. Dan jika mereka tidak berpuas hati, mereka tidak mungkin mengundi BN dalam PRU akan datang dan jika BN ditolak, tidak ada makna kepada sokongan yang dinyatakan oleh pemimpin Umno terhadap presiden mereka.

"Ingat, undi ahli Umno sahaja tidak cukup untuk memenangi pilihan raya," katanya.

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->