Kedai Hancur Dirempuh Bas Rapid KL



Kuala Lumpur: “Saya hanya mampu menjerit ketakutan sebelum jatuh pengsan selepas bas dinaiki terbabas dan merempuh sebuah kedai berhampiran stesen minyak di Jalan Pudu. Mujur saya tidak mengalami kecederaan serius,” kata Misari Isa, 30, penumpang bas Rapid KL yang terbabit kemalangan mengakibatkan tiga orang cedera ringan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, bas yang membawa kira-kira 30 penumpang itu didakwa dipandu laju menyebabkan mereka ketakutan dan ada yang meminta supaya pemandunya memperlahankan kenderaan itu.


“Sebaik tiba di tempat kejadian, bas tiba-tiba hilang kawalan dan terus merempuh sebuah kedai menyebabkan kami menjerit ketakutan.

“Kemudian saya pengsan dan sebaik sedar saya dapati barangan saya iaitu beg tangan, wang tunai, dan telefon bimbit hilang,” katanya.


Misari berkata, terdahulu ketika menaiki bas, pemandu terbabit turut memarahi dan menyuruhnya masuk ke dalam bas dengan cepat seolah-olah lelaki itu ingin mengejar masa.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan bas berkenaan pada 7.07 petang.

“Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu tiba ke lokasi kejadian enam minit kemudian dan mendapati sebuah bas Rapid KL terbabas masuk ke dalam sebuah kedai.

“Terdapat tiga mangsa yang tercedera membabitkan lelaki berusia 50-an dan dua wanita berusia 40-an,” katanya.

Menurutnya, penumpang yang cedera diberi rawatan oleh kakitangan ambulans yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Cawangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya kerana memandu secara melulu dan tidak berhati-hati.

Menurutnya, pemandu bas berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan untuk siasatan lanjut.



Kedai Hancur Dirempuh Bas Rapid KL Kedai Hancur Dirempuh Bas Rapid KL Reviewed by Admin on 9:09:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.