Laman Kongsiadmin@lamankongsi.com

Maut Tertelan Gigi Palsu Ketika Tidur

Ahad, Mac 10, 2013

harith | Ahad, Mac 10, 2013 |
Seorang kontraktor yang memakai gigi palsu ketika tidur dilaporkan maut selepas tertelan giginya itu di rumahnya di Farlim, Air Itam di George Town pagi tadi.

gambar hiasan

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, Choo Hock Meng, 44, dipercayai tidur berdengkur sebelum terbatuk sehingga menyebabkan dia tertelan giginya dan mengalami kesukaran untuk bernafas akibat giginya tersangkut di tekak.

Menurut sumber polis, kejadian itu disedari isterinya Wu Huiling, 42, yang mendapati suaminya mengalami kesukaran bernafas dan wajahnya bertukar menjadi kebiruan.

Sebelum kejadian, mangsa bersama isterinya sedang menonton TV sebelum mangsa masuk tidur terlebih dahulu.

Isterinya masuk ke bilik tidur tidak lama kemudian apabila mendengar suara suaminya seperti sedang menghadapi masalah.

"Isteri mangsa kemudiannya mendapati suaminya tertelan gigi palsu, lantas dia menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan. Suaminya didapati tidak bernyawa oleh anggota ambulans yang tiba di rumah mereka," kata sumber itu.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan maut akibat tertelan gigi palsunya.

"Bedah siasat mendapati gigi palsu mangsa di bahagian rahang atas yang mempunyai tiga kuntum gigi tersangkut di tekak mangsa menyebabkannya mengalami kesukaran untuk bernafas," katanya.

Mangsa dikatakan memakai gigi palsu sejak 20 tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

- Bernama