Laman Kongsiadmin@lamankongsi.com

Gambar Pencerobohan Lelaki Bersenjata Di Lahad Datu Sabah

Rabu, Februari 20, 2013

harith | Rabu, Februari 20, 2013 |

Satu kumpulan yang mendakwa mahu mengembalikan semula tuntutan Filipina ke atas Sabah dipercayai menjadi dalang di sebalik pencerobohan kira-kira 100 warga asing bersenjata ke Lahad Datu, Sabah, seorang pegawai Moro dipetik sebagai berkata.
Sabah di ceroboh, Pencerobohan kumpulan bersenjata di sabah, Gambar kumpulan bersenjata di sabah, 

“Laporan belum disahkan dari sumber-sumber kami berkata bahawa satu kumpulan yang menggelar diri mereka Tentera Diraja Kesultanan Sulu adalah di sebalik kehadiran kumpulan bersenjata yang tidak dibenarkan itu,” kata satu sumber yang enggan mendedahkan identiti kepada akhbar Gulf News.

Menurut laporan, kumpulan lelaki bersenjata terbabit yang menaiki beberapa bot kecil telah mendarat di Lahad Datu, Selasa lalu dan kini sedang berdepan secara ketenteraan dengan pasukan keselamatan negara


Laporan mengatakan bahawa kesemua lelaki berkenaan adalah warga Filipina, namun ia belum dapat disahkan secara rasmi.

Sumber berkenaan yang ditanya jika beliau pernah mendengar nama pasukan tentera seperti itu sebelum ini sebaliknya berkata, matlamat kumpulan itu adalah untuk menjadikan Sabah sebahagian daripada Kesultanan Sulu.

Kesultanan berkenaan pernah wujud sebagai sebuah kerajaan yang kuat dengan pengaruh menjangkau dari Borneo, Selatan Filipina ke bahagian Visayas. Semasa kemuncak kuasanya dalam tahun-tahun 1700, Kesultanan berkenaan berkuasa ke atas wilayah kini dikenali sebagai Mindanao dan timur Malaysia.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Luar di Manila berkata, mereka masih tidak dapat mengesahkan jika 100 lelaki yang kini di Malaysia memang rakyat Filipina.

Menurut jurucakap hal ehwal luar, Raul Hernandez, Filipina menjalankan siasatan sendiri dalam kejadian itu.

“Pasukan keselamatan kami dan pegawai pertahanan sedang berhubung dengan rakan-rakan mereka di Malaysia dalam hal ini,” Hernandez berkata.

Terdahulu, terdapat juga laporan bahawa kumpulan lelaki bersenjata berkenaan adalah ahli kumpulan Abu Sayyaf yang berpusat di Sulu.

Kumpulan Abu Sayyaf kini melarikan diri dari operasi yang digerakan oleh Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro dalam wilayah selatan Filipina.

Abu Sayyaf menahan beberapa tebusan termasuk warga Jordan, Baker Atyani yang merupakan Ketua Biro Asia Tenggara Stesen Televisyen Al Arabiya yang berpangkalan di Dubai serta dua peminat burung warga Eropah dan dua orang warga Filipina.

Sementara itu, laporan Bernama dari Papar, Sabah menyebut, Kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik, termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan sekumpulan warga Filipina di perairan negara di Lahad Datu.

Sambil menegaskan keadaan di Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah terkawal, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu penting bagi memastikan kumpulan yang berjumlah antara 80 dan 100 anggota itu “keluar dengan selamat ke Selatan Filipina”, sekali gus mengelak pertumpahan darah.

“Ini yang kita nak kerana mereka ada juga saudara mara di sini…jadi kita tidak mahu ada nyawa yang terkorban dan sebab itu kita minta mereka balik dengan cara yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Padang Pekan Papar di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini di Lahad Datu berikutan laporan yang memetik Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata, pasukan keselamatan menahan sekumpulan warga asing menyamar sebagai anggota tentera cuba menceroboh perairan negara di Lahad Datu.

Ahmad Zahid berkata beliau mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama dengan polis mengambil tindakan segera berhubung perkara itu.

Dalam menghadapi situasi genting itu, Najib, yang dimaklumkan tentang kejadian itu oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pagi ini, berkata: “anggota polis kini bertindak atau merupakan bulatan pertama mengepung kawasan tersebut dan bulatan kedua terdiri daripada pasukan anggota tentera.

“Dari segi kekuatan, kuasa tempur kita adalah lebih dari cukup untuk memberkas mereka, tetapi kerajaan memilih jalan untuk buat perundingan dengan mereka supaya mereka keluar dengan aman balik ke Selatan Filipina,” katanya.

Ditanya sama ada pihak berkuasa keselamatan Malaysia sudah mengenal pasti kumpulan itu, Najib berkata: “Lebih kurang kita sudah kenal pasti “.

“Tapi biarlah polis melakukan rundingan dengan mereka dan mudah-mudahan mencapai hasil dan kejayaan. Sebab mereka tak boleh ke mana, mereka dikepung…mereka tidak ada pilihan dan perlu cari jalan penyelesaian,” katanya.

Apabila ditanya sama ada kumpulan itu bersenjata atau sebaliknya, Perdana Menteri berkata perkara itu dalam makluman polis dan “jangan buat spekulasi”.

“Kita bukan mendedahkan maklumat dalaman…biar polis jalankan kerja mereka tanpa diganggu mana-mana pihak. Apa yang penting keberhasilan yang selesai tanpa pertumpahan darah,” katanya.

Mengenai tahap keselamatan dan kawalan di perairan negara terutama pantai timur Sabah, Najib berkata perairan Malaysia amat luas tetapi apa yang penting ialah “kita dapat maklumat cepat”.

“Kita mengepung mereka, bila dapat mengepung mereka, mereka tidak boleh ke mana. Kita mesti sedar lautan kita luas dan kita tidak boleh berada di setiap masa sentiasa 24 jam,” katanya sambil menambah pihak berkuasa kerajaan Malaysia sudah memaklumkan kejadian itu kepada kerajaan Filipina.– BERNAMA