Laman Kongsiadmin@lamankongsi.com

Sejarah Awal Pembinaan Kaabah

Rabu, April 04, 2012

harith | Rabu, April 04, 2012 |

Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s pergi ke Mekah untuk membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail as :

"Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku satu perkara" Lalu Nabi Ismail a.s berkata: "Lakukanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kamu" Nabi Ibrahim a.s bertanya: "Adakah kamu akan menolongku?" Nabi Ismail a.s menjawab: "Aku akan menolongmu" Lalu beliau berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di Mekah, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya."

Mereka berdua mendirikan tapak asas Baitullah di kawasan tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s membinanya. Apabila binaan tersebut telah tinggi, Nabi Ismail a.s membawa sebuah batu dan meletakkannya di samping Nabi Ibrahim a.s. Beliau berdiri di atas batu tersebut semasa meneruskan pembinaan manakala Nabi Ismail a.s menghulurkan ketulan batu, di samping itu mereka berdoa sebagaimana firman Allah Yang bermaksud:

"Wahai Tuhan kami! Terimalah amal kami sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang yang berserah diri kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat yang berserah diri kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan mereka isi kandungan al-Quran serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan hati dan jiwa mereka dari perbuatan syirik dan maksiat. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

Sehinggalah Allah SWT menyempurnakan pembinaan Baitullah (Kaabah) tersebut kepada mereka berdua. Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah dengan keadaan :
  1. Tinggi Kaabah sembilan hasta.
  2. Panjang dari paras bumi atau dari Hajarulaswad hingga ke penjuru sebelah Syam adalah sepanjang 32 hasta.
  3. Lebar Kaabah dari bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat adalah seluas 22 hasta.
  4. Panjang dari paras bumi bermula sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman adalah sepanjang 31 hasta.
  5. Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarulaswad adalah seluas 20 hasta.
  6. Nabi Ibrahim telah membina pintu Kaabah rapat ke bumi dan tidak ditinggikan atau dibuat pintu secara sempurna sehinggalah Tubba' Al-Humairi telah membina sebuah pintu dan meninggikannya.
  7. Bentuk binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s adalah satu binaan sempurna yang mempunyai dua penjuru iaitu dua penjuru Yamani manakala bentuk Hijir pula, beliau tidak membinanya dalam bentuk berpenjuru bahkan dalam bentuk separuh bulat sebagaimana bentuk Hijir yang terdapat pada masa sekarang ini. Ada pendapat yang mengatakan umur Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah tersebut ialah 100 tahun.