Laman Kongsiadmin@lamankongsi.com

Orang Pertama Dicampakkan ke Neraka

Ahad, April 29, 2012

harith | Ahad, April 29, 2012 |

Daripada Abu Hurairah R.A ,Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :"Sesungguhnya manusia yang pertama yang diadili pada hari kiamat ialah seseorang yang mati syahid.Orang itu dihadirkan di hadapan Allah ,lalu diingatkan nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepadanya.Orang itu mengingati semua nikmat tersebut.Allah bertanya :Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini ?"Orang itu menjawab ."Aku berjuang di jalan-Mu sehingga terbunuh."Allah berfirman :"Engkau berdusta!!Akan tetapi engkau berjuang agar disebut sebagai pemberani."Dan sememangnya orang ramai menyebutkannya sebegitu.Orang itu lalu diseret di atas wajahnya ,kemudian dicampakkan ke dalam neraka.Allah lalu memanggil seseorang yang belajar ilmu,mengajarkannya dan membaca al-Quran .Orang ini dihadirkan ,lalu disebutkan kepadanya semua nikmat Allah sehingga ia mengingatinya.Allah lalu bertanya :"Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini ?"Dia menjawab :"Aku mempelajari ilmu ,lalu mengajarkannya dan membaca al-Quran."Allah berfirman:"Engkau berdusta!!Akan tetapi engkau belajar agar disebut alim ,dan membaca al-Quran agar disebut qari(hafiz)".Dan sememangnya orang ramai menyebutnya seperti itu.Orang itu lalu diseret di atas wajahnya ,kemudian dicampakkan ke dalam neraka.Allah lalu memanggil seseorang yang telah diberikan harta yang melimpah ruah .Orang ini dihadirkan ,lalu disebutkan kepadanya nikmat-nikmat Allah s.w.t sehingga ia mengingatinya .Allah bertanya:"Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?"Dia menjawab :"Aku membelanjakannya di tempat-tempat yang engkau kehendaki."Allah berfirman:"Engkau berdusta!!Akan tetapi engaku melakukannya agar dikenali sebagai dermawan."Dan memang orang telah menyebutnya seperti itu .Orang itu lalu diseret di atas wajahnya dan kemudian dicampakkan ke dalam neraka."

(Riwayat Muslim)

Riyak dan Sum'ah

Hadis ini menyebut bahawa antara orang pertama yang masuk ke neraka ialah mereka yang suka menipu agama Allah.Mereka memang beribadah ,namun ibadat itu tidak diniatkan kerana Allah,sebaliknya mereka beribadah agar menjadi buah mulut dan sebutan ramai.Sikap seperti ini disebut riyak dan sum'ah ,melakukan ibadah untuk manusia bukan kerana Allah .Riyak berkaitan dengan penglihatan manusia ,sementara sum'ah berkaitan dengan pendengaran.Sesiapa beramal agar dilihat manusia ,maka itu riyak ,dan siapa yang beramal agar berita amalan itu didengar manusia ,maka itu sum'ah .Kedua-duanya mengundang murka Allah s.w.t.Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim,Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Allah s.w.t berfirman:"Sesiapa yang melakuakn suatu amalan sambil mempersekutukan diri-Ku dengan yang lain,maka Aku berlepas daripadanya.Amalan itu untuk pihak yang disekutukannya itu."Qatadah seorang ulama tabiin di Basrah berkata:"Apabila seorang hamba melakukan ibadah dengan riyak,Allah s.w.t berfirman kepada para malaikat :"Tengoklah hamba-Ku ini,dia sedang mempersendakan diri-Ku."Riyak dan sum'ah ialah syirik kecil yang merosakkan ibadah.Sesiapa yang melakukan ibadah kerana menginginkan pujian manusia,hakikatnya dia telah menghapuskan pahala ibadah tersebut.Dia tidak akan mendapatkan apa-apa ganjaran daripada Allah s.w.t kelak.

Penyakit Orang Baik

Penyakit ini hanya menghinggapi "orang baik" sahaja.Orang jahat dan tidak mengenali Allah tidak memiliki sifat-sifat ini kerana mereka tidak melakukan ibadah sama sekali.Mereka akan menjadi bara api neraka tanpa dihisab.Adapun orang yang baik ini ,maka ia mesti terus menjaga kemurnian ibadahnya.Setiap kali melakukan ibadah,dia wajib meluruskan niat agar ibadahnya diterima oleh Allah s.w.t ,terutamanya apabila manusia mula menyebut-nyebut kebaikannya dan memuji dirinya.Syeikh Ali al-Khawas berkata:"Jika engkau sedang berada di jalan istiqamah ,lalu seseorang memujimu ,maka ia satu peringatan atas kekurangan yang terdapat dalam diri.Maka periksalah dirimu,Carilah sebabnya,kenapa manusia memujimu?Boleh jadi Allah melihat kamu menyukai pujian ,maka Allah memberikan pujian itu untukmu sebagai satu-satunya balasan atas ibadah tersebut.Seperti seorang ayah yang menggembirakan anaknya dengan gelang dan kalung tiruan."Untuk menghindari sifat ini,kita wajib mengetahui tanda-tandanya.Pastikan tanda-tanda tersebut tidak terdapat dalam diri kita.Ali bin Abi Talib pernah berkata;"Tanda riyak tiga perkara:

  • Malas beramal jika sendirian
  • Rajin beramal jika dalam ramai
  • Menambah amalan jika dipuji dan menguranginya jika dicela."
Tanda pertama dan kedua sangat jelas.Orang yang memiliki sifat riyak bermotivasi untuk beramal hanya apabila ramai orang yang melihatnya.Namun apabila tidak ada sesiapa yang melihatnya ,dia akan malas melakukan amalan tersebut.Adapun tanda ketiga tersebut oleh Saiyidina Ali ,ia sangat halus dan jarang disedari.Yakni,sesiapa yang tidak suka pujian ,maka ia tidak takut celaan.Sesiapa yang bebas daripada sifat riyak,ia akan terus istiqamah beramal walaupun semua makhuk mencela dan memulaukannya.Celaan tidak menghentikan amalannya sebagaimana pujian tidak mengerakkanya untuk beramal.Para ulama:"Tidak ada yang mampu menanggung celaan makhluk selain orang yang tidak mengharapkan penghormatan daripada mereka."

Riyak kerana Amalan Orang Lain

Riyak dengan amalan sendiri memang sangat buruk.Namun jauh lebih buruk daripada itu,orang yang riyak dengan amalan orang lain.Berkata al-Fudhail bin 'Iyad:Orang terdahulu riyak dengan amalannya.Namun manusia hari ini riyak dengan apa yang tidak pernah dilakukannya."Orang seperti ini ramai kita temui dalam masyarakat kita kini.CIrinya antara lain suka menyebut kebesaran nenek moyangnya,keturunannya atau orang yang hebat dalam keluarganya padahal ia sendiri tidak memiliki kehebatan tersebut.Dia ingin orang lain menghormatinya atas perkara yang tidak dimilikinya,Imam al-Sha'rani berkata:"Hendaklah orang yang memuji bapa atau datuknya selalu memeriksa hati.Sering kali pujian itu hanya perwujudan hawa nafsu belaka."Orang seperti ini hakikatnya sedang mempersendakan dirinya sendiri.Kalaupun ada orang yang memujinya ,dia bukan kawan sejati.Dia hanya memuji kerana menginginkan sesuatu disebaliknya.Apabila dia tidak mendapat sesuatu yang dihajati itu,pujian tersebut akan segera berubah menjadi celaan.Imam al-Syafi'i berkata:"Sesiapa yang memujimu kerana sesuatu yang tidak engkau miliki,suatu hari nanti dia juga akan mencelamu kerana sesuatu yang engkau tidak miliki."

Hamba yang Dicintai Allah

Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Aslam :"Pada suatu hari,Umar bin al-Khattab melihat Mu'az bin Jabal sedang menangis di sisi kubur Nabi s.a.w.Belau lalu bertanya:"Apakah yang menyebabkanmu menangis?"Mu'az menjawab :"Aku teringat sesuatu yang aku dengar daripada penghuni kubur ini.Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda(yang bermaksud):"Sesungguhnya sedikit riyak ialah syirik.Sesiapa yang memusuhi wali Allah ,maka dia telah menyatakan perang kepada-Nya.Sesungguhnya Allah mencintai hamba-hamba yang berbakti ,bertakwa dan tersembunyi.Jika mereka hadir ,tidak ada yang mengenalinya.Hati mereka ialah lentera-lentera petunjuk."Kekasih Allah tidak menyukai kemasyhuran.Mereka selalu khuatir andai amal ibadahnya ditolak,meskipun telah melakukannya dengan sempurna.Kesibukannya dengan Allah tidak meninggalkan baki masa baginya untuk mendengar pujian atau celaan orang lain .Berkata Syeikh Abdul Qadir Dastuti:"Seorang hamba tidak patut berbangga dengan ilmu ,harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat.Apa gunanya pujian jika ia tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti?"Semoga Allah memberikan keikhlasan dalam hati-hati kita,mengampuni dosa-dosa kita dan menerima amal ibadah kita.