Tips Mencintai Rasulullah



Mengimani dua kalimah syahadah ialah perkara paling pokok dalam agama Islam. Ia berada pada senarai teratas dalam Rukun Islam dan menjadi kepala kepada segala amal kita. Kita boleh memanfaatkan dua kalimah ini untuk menghadirkan, memperbaharui dan mengistiqamahkan rasa kecintaan dan rindu dendam kepada ALLAH dan rasul-Nya iaitu Nabi Muhammad saw yang sangat kita kasihi.

Seawal-awal terjaga dari tidur pada waktu pagi, biasanya fikiran kita akan sedar terlebih dahulu. Kita sudah mula berfikir sebelum anggota-anggota badan lain bergerak. Kemudian barulah diikuti dengan gerak tubuh badan seperti pergerakan kepala, tangan, bukaan mata, keluhan suara ataupun yang lain-lain. 

Oleh itu, sebaik-baik saja minda kita terjaga, kita latih minda kita supaya terbiasa untuk menyebut (dan sebaik-baiknya memahami) “ Laa Ilahaillallaah, Muhammadur Rasulullah” (boleh saja jika mahu ditambah perkataan “Asyhadu...”). Jadikan ia perkara pertama yang disebut atau difikirkan oleh minda kita pada hari itu, setiap hari. Selepa situ barulah kita berfikir tentang perkara-perkara lain.

Sekiranya belum mampu untuk berbuat demikian, kita boleh lewatkan ia sedikit. Sebaik-baik saja kita tersedar yang kita belum mengucapkan dua kalimah syahadah di hati, ketika itu ucapkanlah walaupun kita sudah berfikir tentang hal-hal lain sebelumnya. 

Antara berfikir dan bersuara, kemampuan berfikir bangun lebih dahulu barulah dikuti dengan kemampuan bersuara. Sebaik-baik saja terjaga dari lena, kita belum boleh bersuara. Terasa berat dan lemahnya mulut untuk mengucapkan sesuatu. Sama juga, kita biasakan diri kita menyebut “Laa Ilahaillallaah, Muhammadur Rasulullah” sebagai sebutan pertama kita pada setiap kali kita memulakan hari baru. 

Lama-kelamaan kita akan terbiasa menjadikan “Laa Ilahaillallaah, Muhammadur Rasulullah” sebagai perkara pertama yang kita fikir dan perkara pertama yang kita sebut pada setiap hari. Cubalah petua ini, kita akan berasa permulaan hidup kita pada setiap pagi lebih bermakna berbanding hari-hari yang lalu. Akan datang satu macam kepuasan yang begitu berlainan. Rasa rindu dan sayangkepada ALLAH dan Rasulullah akan bertambah subur di hati. 


Tips Mencintai Rasulullah Tips Mencintai Rasulullah Reviewed by Admin on 7:52:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.