Mayat Bayi Ditemui Di Tapak Pembuangan Sampah



Kuala Terengganu: Mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat dijumpai di sebuah tapak pembuangan sampah di Kampung Mak Chili, Cukai, Kemaman pada Selasa.
Bayi yang cukup sifat itu dijumpai oleh seorang pekerja lelaki di tempat pembuangan sampah itu ketika sedang melakukan pembersihan di kawasan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata pekerja berkenaan menemui bayi itu dalam karung beg plastik yang diletakkan dalam sebuah beg pakaian kira-kira pukul 5.50 petang.

Terkejut dengan penemuan mayat bayi tersebut, pekerja berkenaan terus melaporkannya kepada pihak polis.

"Hasil siasatan lanjut, bayi berkenaan dipercayai dibawa oleh lori sampah Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang terakhir membuang sampah di kawasan tersebut sekitar pukul 3 petang.

"Kami percaya bayi berkenaan baru dilahirkan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Manoharan berkata mayat bayi itu telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Manoharan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kelahiran dan pembuangan bayi itu agar tampil membantu pihak polis.

Beliau turut meminta pihak hospital sama ada swasta mahupun kerajaan memberi maklumat kepada pihak polis sekiranya pernah menerima pesakit yang mencurigakan bagi membantu siasatan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. -Bernama

Mayat Bayi Ditemui Di Tapak Pembuangan Sampah Mayat Bayi Ditemui Di Tapak Pembuangan Sampah Reviewed by Admin on 7:06:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.