Selangor Sedia Terima Safee


SAFEE pernah menyarung jersi Selangor selama enam musim bermula 2006

“Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.” Demikian respons Selangor andai penyerang sensasi Harimau Malaya itu mahu kembali semula ke pangkuan Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Masa depan penyerang kelab Pelita Jaya itu kini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan, lantaran dikhabarkan tidak dibenarkan mewakili skuad kebangsaan jika benar saingan Liga Super Indonesia (ISL) diharamkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Selain dikatakan bakal berpatah balik ke Liga-M, Safee juga dikaitkan dengan penghijrahan ke Liga Belgium dan Liga Australia bagi menyelamatkan kariernya sekiranya isu tersebut gagal diselesaikan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam tempoh terdekat.

Pengendali baharu Selangor, Irfan Bakti Abu Salim memberitahu, sebagai jurulatih, beliau sentiasa mengagumi kelebihan yang dimiliki Safee terutamanya ketajaman penyudah penyerang kelahiran Kajang itu dalam merobek gol lawan.

“Siapa yang tidak berkenan dengan Safee, dia memang seorang pemain yang hebat.

“Jika dia mahu kembali beraksi bersama Selangor, sudah tentu saya merupakan individu yang paling gembira menantikan kepulangannya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Terdahulu, Safee bersama pengurus peribadinya, Zakaria Abdul Rahim mengadakan sidang akhbar khas mengenai masa depannya bersama Pelita Jaya di Garden, The Curve Mutiara Damansara petang semalam.

Sebelum berhijrah ke Pelita Jaya pada 14 Februari lalu, Safee juga pernah mewakili Kuala Lumpur dan Sarawak sebelum menyarung jersi Selangor selama enam musim bermula 2006.

Begitupun, Irfan Bakti berkata, Safee perlu menunggu ‘lampu hijau’ sekurang-kurangnya sehingga pintu pendaftaran pemain dibuka semula pada 6 April tahun depan jika benar-benar berhajat kembali semula ke pangkuan Gergasi Merah.

“Pintu pendaftaran pemain sudah pun ditutup baru-baru ini, jadi mahu tidak mahu Safee mungkin terpaksa menunggu lama jika berminat untuk kembali semula bersama Selangor.

“Bagi saya, pintu sentiasa terbuka buatnya, apa pun saya menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan untuk membuat sebarang keputusan,” katanya.

Selangor yang akan melayan cabaran pasukan UiTM bagi aksi pra-musim di Shah Alam malam ini ketika ini memiliki jentera serangan yang berwibawa seperti Amirulhadi Zainal, Safiq Rahim dan kapten, Amri Yahyah.

Juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu juga berjaya mengikat penyerang import baharu dari Congo, Lelo Mbele yang kredibilitinya begitupun sedikit meragukan kerana dikatakan tidak cergas sepenuhnya gara-gara baru pulih daripada pembedahan lutut akibat kecederaan sebelum ini.
sumber

Selangor Sedia Terima Safee Selangor Sedia Terima Safee Reviewed by Admin on 7:40:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.