Sang Penyu Tidak Menangis Lagi


MILIK KAMI... Skuad bola sepak Terengganu meraikan kejayaan muncul juara Piala FA selepas membenam Kelantan pada aksi final.

PENYU tidak menangis lagi. Itu hakikat besar yang telah diubah hampir 1.5 juta penduduk di negeri Terengganu.

Sang Penyu kini makin bertenaga dan terus garang, berenang merentasi lautan untuk mengibarkan bendera Hitam Putih di seluruh pelosok tanah air.

Tahun 2001 telah menjadi bukti. Bukti kepada kelahiran sebuah negeri dari Pantai Timur yang terus megah di puncak pembangunan sukan negara.

Berkeluasan 12,955 kilometer persegi, negeri yang cukup sinonim denankeropok lekor ini secara perlahan-lahan menembusi tembok dan benteng untuk berdiri sama tinggi dengan negeri lain.

Siapa tidak kenal dengan jaguh basikal dunia, Azizulhasni Awang. Melengkapkan lagi kecemerlangan adalah kehadiran ratu basikal Asia, Fatehah Mustafa.

Dua ikon sukan basikal negara ini adalah contoh atlet sejati kelahiran Terengganu yang berjaya menjulang Jalur Gemilang di serata pelosok dunia.

Ironinya, Azizulhasni dan Fatehah bukanlah satu-satunya kejayaan sulung yang dicipta Terengganu.

Namun, sistem pembangunan sukan yang tersusun hasil idea kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSN) telah meletakkan negeri ini sebagai juara sebenar sepanjang tahun 2011.

Buktinya, penganalisis sukan, Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim pernah menyuarakan pandangannya agar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melihat semula modul yang digunakan Terengganu dalam mengurus dan mentadbir sukan.

Jelas pakar sejarah itu, Terengganu dahulunya merupakan pasukan tercorot dalam sukan berbanding Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak, namun secara tiba-tiba negeri ini telah melonjak sebagai kuasa baru.

Semua ini, kata Kay Kim, adalah disebabkan kemampuan Terengganu mengenalpasti bakat di kalangan anak-anak tempatan.

Pandangan jujur beliau itu sangat berasas selepas melihat kepada kejayaan Terengganu menjuarai temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2011 buat kali ketiga berturut-turut.

Temasya yang berlangsung di Lembah Klang itu menyaksikan Terengganu mengumpul pungutan 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa untuk muncul juara keseluruhan sekali gus mengulangi pencapaian edisi 2010 di Melaka dan 2008 di laman sendiri.

Paling menarik, kejayaan itu dilakar tidakpun sampai 24 jam selepas pasukan bola sepak Terengganu menewaskan Kelantan pada perlawanan akhir untuk menjulang Piala FA buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.

Bagaimanapun, bagi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat, beliau mengakui tahun 2011 merupakan tahun penuh mencabar buat Terengganu dalam lapangan sukan.

Sebelum berlangsungnya temasya Sukma dan saingan bola sepak, Rozi menjelaskan keupayaan pengurusan Terengganu terlebih dahulu diuji dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.

Pada perlumbaan berstatus Hors itu, Terengganu mencipta sejarah tersendiri apabila menampilkan pasukan sendiri yang dikenali sebagai Terengganu Cycling Team (TSG).

“Ia adalah penampilan pertama pasukan Terengganu pada perlumbaan LTdL dan kami berjaya menduduki tempat kelapan keseluruhan daripada 23 pasukan yang mengambil bahagian,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Perlumbaan dua minggu itu turut menyaksikan TSG menduduki tempat kelima mengatasi satu lagi pasukan benua, LeTua Cycling Team (L2A) dan pasukan kebangsaan Malaysia dalam kedudukan pasukan Asia.

Rentetan daripada kejayaan pada LTdL, Sukma dan Piala FA serta pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan yang disertai, Rozi menjelaskan bahawa ia adalah bukti kepada kesungguhan anak-anak negeri ini untuk berjaya.

Jelasnya, kejayaan itu bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, tetapi telah banyak pengorbanan dibuat termasuk menerusi wang ringgi dan tenaga dalam memastikan sukan di Terengganu terus mekar.

“Jika kita lihat perkembangan sukan di negeri ini, ia sebenarnya sedang menuju ke satu standard yang cukup tinggi. Kami bermula sejak 2006 menerusi program-program pembangunan yang dilakukan di peringkat akar umbi.

“Pada 2008 iaitu apabila Sukma berlangsung di Terengganu, kami telah muncul juara keseluruhan. Walaupun ada pihak yang menganggap ia adalah kejayaan selaku tuan rumah, kami telah buktikan apabila mempertahankan kejayaan itu di Melaka pada 2010,” katanya.

Ditanya rahsia sebenar pembangunan yang dibuat, Rozi mengakui ia adalah hasil kerjasama kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada sebarang aktiviti sukan di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said telah memberi bajet besar kepada MSN untuk mengadakan lebih banyak akademi pembangunan dalam melahirkan atlet yang berkualiti.

“Tahun 2012 akan menyaksikan Akademi Bola Sepak, Akademi Badminton dan Akademi Renang diwujudkan di negeri ini.

“Misi Terengganu kini adalah untuk mengeksport lebih ramai atlet berkualiti di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Menyusuri lagi kejayaan yang dicipta Terengganu sepanjang 2011, seramai 54 anak kelahiran negeri itu telah terpilih menyarung jersi Malaysia untuk beraksi di pentas Sukan SEA di Indonesia.

Rozi menjelaskan, kejayaan itu bukan bersandarkan kepada kuantiti semata-mata, tetapi pemilihan yang dibuat adalah berdasarkan kualiti pada atlet-atlet Terengganu yang beraksi dalam acara bola lisut, kenu, silat, basikal, sepak takraw, judo, olahraga, bola sepak, memanah dan lawang pedang.

Menyentuh perkembangan Liga Malaysia, beliau turut melahirkan pujian apabila dua pasukan dari negeri ini iaitu Terengganu dan T-Team berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik Piala Malaysia.

“Terengganu paling cemerlang apabila muncul juara Piala FA selain menduduki tempat kedua dalam Liga Super dan Piala Malaysia.

“Namun, kehebatan T-Team juga perlu diakui kerana sebagai pasukan kelab, mara ke separuh akhir Piala Malaysia merupakan satu pencapaian membanggakan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah MSN negeri, Zainal Abidin Hussin ketika ditanya mengenai perkembangan sukan Terengganu sepanjang 2001 tampil memberi kredit kepada ibu bapa di negeri ini yang telah menjadi individu pertama membentuk budaya sukan di kalangan anak-anak.

Katanya, trend ibu bapa membawa anak-anak ke akademi termasuk menghantar untuk menyertai apa juga pertandingan adalah bukti kepada kesedaran mereka mengenai kepentingan sukan di negeri ini.

“Menjadi atlet bukan lagi semata-mata untuk memburu emas mahupun perak, tetapi ia adalah satu kerjaya yang menjamin masa depan anak-anak.

“Menerusi pelan yang dilakukan oleh kerajaan negeri, mana-mana atlet yang berjaya tidak kira di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa akan diberikan insentif yang bersesuaian,” katanya.

Namun, Zainal mahu lebih bersikap realistik mengenai masa depan sukan di Terengganu dengan tidak terlalu bergantung kepada sukan tradisi negeri ini seperti berbasikal dan kenu serta mendayung.

“Untuk menjadi kuasa sukan yang baru maka pelbagai cabaran perlu ditempuhi. Kami perlu menguasai lebih banyak sukan-sukan utama seperti renang, terjun, angkat berat dan badminton.

“Sasaran kita pada 2012 adalah untuk memastikan gelaran juara keseluruhan Sukma yang bakal berlangsung di Pahang nanti berjaya dipertahankan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh mengakui, bola sepak Terengganu telah kembali ke landasan sebenar dengan kejayaan yang dicapai sepanjang 2011.

Katanya, paling membanggakan apabila ramai pemain pasukan Terengganu terpilih untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan mahupun skuad Harimau Muda.

Antara yang mencuri tumpuan, katanya, adalah Zubir Azmi, Ashaari Shamsudin, Sharbinee Alawie, Joseph Kalang Tie dan Abdul Hadi Yahya.

Sang Penyu Tidak Menangis Lagi Sang Penyu Tidak Menangis Lagi Reviewed by Admin on 12:23:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.