Persiapan Kahwin, Lisa Surihani Serahkan Pada Rakan Baik


Tinggal lebih kurang dua bulan saja lagi sebelum pelakon cantik, Lisa Surihani bakal diijabkabulkan dengan pasangannya, Yusry Abdul Halim. Kalau nak diikutkan, tempoh tersebut sudah semestinya tidak mencukupi apatah lagi pasangan ini sibuk dengan kerjaya seni masing-masing.

Awal bulan Januari, Lisa akan terlibat dengan penggambaran filem terbitan KRU Studios, ‘Ular’ di mana Yusry juga akan terlibat dengan proses CGI filem tersebut. Manakala bulan Februari pula, gadis berusia 25 tahun ini akan terlibat dengan sebuah lagi filem baru. Tertanya juga bagaimana pasangan ini hendak mengendalikan persiapan perkahwinan mereka itu nanti.


“Setakat ini kami hanya tempah lokasi majlis pernikahan dan resepsi saja. Tentang persiapan lain, masih belum dibincangkan lagi. Tema dan konsep perkahwinan juga belum ditentukan sebab kami masih belum duduk berbincang mengenai perkara ini. Bila ada kelapangan nanti, kami akan bincang tentang perkara ini,” ujar Lisa ketika ditemui di majlis tayangan media filem terbarunya, ‘Papa, I Love You’ malam tadi.

“Ada juga pihak yang menawarkan tajaan tapi kami masih belum beri kata putus. Lagipun, kami tidak terlalu inginkan itu dan ini. Bagi kami, asalkan majlis berjalan dengan lancar, itu sudah mencukupi. Setakat ini, kedua-dua pihak bekerjasama untuk melaksanakan majlis tersebut.

“Namun, segalanya bukan diuruskan oleh kami saja. Saya dan Yusry telah mengambil keputusan untuk membuat persiapan dengan lebih tenang, jadi kami telah melantik kawan baik saya untuk menguruskan persiapan majlis kami. Harap semuanya berjalan dengan lancar dan saya harap orang akan mendoakan yang terbaik untuk majlis perkahwinan kami nanti.”

Menyentuh mengenai wataknya, Elly dalam filem ‘Papa, I Love You’, Lisa memberitahu, “Tak banyak perbezaannya dari segi karakter saya dengan Shiela dalam filem ‘Sekali Lagi’. Cuma skopnya saja berbeza di mana filem ini mengenai perhubungan anak dengan bapa.

“Elly merupakan watak pembantu dan saya tak kisah dengan apa saja watak yang diberi. Ia lebih kepada tujuan untuk memberi impak kepada penonton. Cabaran saya di sini ialah walau skala kecil pun watak saya, adakah saya dapat sentuh atau meninggalkan kesan pada penonton atau tidak,” ujar Lisa mengakhiri perbualan.


Persiapan Kahwin, Lisa Surihani Serahkan Pada Rakan Baik Persiapan Kahwin, Lisa Surihani Serahkan Pada Rakan Baik Reviewed by Admin on 8:00:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.