Maharaja Lawak Mega: Nak Cari Pelawak Atau Nak Cari Gaduh?



Di awal rancangan Maharaja Lawak Mega (MLM) ini ke udara, tak banyak yang diperkatakan mengenainya. Namun minggu demi minggu, MLM mula menjadi buah mulut, mungkin disebabkan peningkatan kualiti lawak yang dipersembahkan oleh para pesertanya.

Tetapi entah di mana silapnya, pentas yang sepatutnya menyajikan jenaka hingga boleh membuatkan orang kering gusi, nampaknya mula bertukar menjadi medan emosi yang cukup menjengkelkan.

Rupanya skestsa di belakang pentas lebih ‘hebat’ daripada apa yang kita saksikan di atas pentas MLM itu sendiri.

Puncanya mudah…hanya kerana ada peserta tidak dapat menerima teguran yang diberikan pihak juri.

Juri yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan, Datuk Chef Wan kitalah.

Mungkin ramai yang tidak tahu, ada pelawak senior pernah mengamuk dibelakang pentas.

Kejadian ini terjadi pada minggu keenam MLM berlangsung yang mengakibatkan 3G dan Bawel tersingkir.

Walaupun lawak mereka pada minggu itu masih lagi ada yang tertawa, namun juri beranggap prestasi kumpulan itu terlalu merosot dan tidak seperti minggu sebelum ini.

Atas alasan itu, peserta berkenaan terus meluru masuk ke biliknya sehingga tidak mahu ditegur oleh sesiapa.

Kemudian Sobri dari kumpulan Bawal Power pula buat hal.

Dia pernah menggunakan kesempatan berada di pentas MLM untuk menghentam wartawan Utusan Malaysia yang mengkritiknya dalam sebuah ruangan pojok, sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan persembahan kumpulannya pada minggu itu.

Dan yang terbaru, seperti semua orang tahu, perbalahan serius antara Chef Wan dan Adlin Aman Ramli.

Semuanya bermula apabila anak kepada pelakon Ruminah Sidek dan Allahyarham A R Tompel itu meluahkan perasaan marah kepada tukang masak glamour itu kerana menganggap tindakan Chef Wan membuat komentar di laman FB sebagai tidak wajar dan menjatuhkan maruahnya.

Geram dengan perbuatan itu, Adlin dengan lantangnya melancarkan ‘perang’ terhadap Chef Wan sambil mempersoalkan kredibiliti lelaki berkenaan sebagai juri program tersebut, aduh, macam-macam hal.

Nasib baiklah MLM sudah hampir menuju ke final, kalau tidak entah apalagi yang akan berlaku.

Persoalannya, mengapa ini terjadi?

MLM bukan sebuah program mencipta kontroversi, tetapi sebuah program santai yang bertujuan untuk menghiburkan penonton dengan lawak-lawak yang berkualiti, apatah lagi bila ramai pelawak otai yang menyertainya.

Malang sekali, lain yang dirancang, lain pula jadinya.

Penulis tidak mahu menyebelahi sesiapa, baik juri mahupun peserta.

Tetapi secara ikhlas penulis merasakan, MLM setakat ini belum berjaya mengangkat mana-mana peserta yang boleh dianggap pelawak terbaik di negara ini.

Adakalanya peserta pertandingan Raja Lawak lebih lucu daripada MLM.

Tapi yelah nak buat macam mana, bukan senang nak buat lawak ni.

Buat orang sedih mudah, buat orang marah lagi mudah tapi nak buat lawak, bukan semua orang mampu melakukannya.

Apapun diharap episod mengamuk, menyindir dan bergaduh dalam MLM dapat dihentikan segera, maklumlah yang ramai menontonnya bukan saja yang dewasa tetapi juga kanak-kanak…jangan beri mesej yang salah pada golongan ini.

Ingat…kita nak cari pelawak terbaik, bukan pencarut terhebat!

Maharaja Lawak Mega: Nak Cari Pelawak Atau Nak Cari Gaduh? Maharaja Lawak Mega: Nak Cari Pelawak Atau Nak Cari Gaduh? Reviewed by Admin on 9:45:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.