Logo Kebal RM6,000 Sekeping


SHUKRI menunjukkan logo yang kononnya kebal daripada tindakan undang-undang pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak semalam.

IPOH – Angkara terperdaya dengan lambang ala logo polis yang kononnya kebal undang-undang, dua lelaki menjadi mangsa penipuan seorang penganggur yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP).

Lebih meyakinkan mangsa apabila ACP berusia 49 tahun itu mendakwa dalam tempoh terdekat ini dia yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bakal menyandang jawatan Ketua Polis Perak.

Dengan bermodalkan kata-kata itu, penganggur terbabit menawarkan logo mempunyai lambang keris bersilang yang tertera tulisan ‘Sejati VIP Members’ pada harga RM6,000 bagi setiap satu.

Logo yang kononnya boleh membuatkan orang yang memilikinya kebal daripada sebarang tindakan didakwa dikeluarkan oleh Persatuan Bekas Polis.

Mereka yang melekatkan logo ‘Sejati VIP Members’ pada kenderaan masing-masing didakwa bebas keluar dan masuk balai-balai polis.

Malah setiap kenderaan yang ada logo tersebut juga dijanjikan bebas daripada dikenakan tindakan saman had laju polis.

Salah seorang mangsa yang merupakan ahli perniagaan memberitahu, ACP palsu itu mendakwa dia bakal berpindah ke negeri ini dan menjawat jawatan Ketua Polis Perak berkuat kuasa Disember 2011.

Percaya dengan kata-kata temberang ACP palsu itu, ahli perniagaan terbabit melunaskan bayaran pendahuluan sebanyak RM3,000. - Kosmo

Logo Kebal RM6,000 Sekeping Logo Kebal RM6,000 Sekeping Reviewed by Admin on 8:14:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.