Laman Kongsiadmin@lamankongsi.com

Gempar Jumpa Harimau, Beruang

Khamis, Disember 08, 2011

harith | Khamis, Disember 08, 2011 |

PENDUDUK mendakwa ternampak beruang berkeliaran dan dikatakan mencakar kulit pokok di Kampung Pancur, Hulu Besut. - Gambar hiasan

BESUT – “Saya terperanjat apabila ternampak seekor harimau tiba-tiba keluar dari kawasan semak dan melintas di hadapan kami.”
Demikian cerita seorang penduduk, Abd. Manaf Ismail, 37, yang terserempak dengan seekor harimau ketika menoreh getah bersama ibunya di Kampung Pancur, Hulu Besut dekat sini pada Jumaat lalu.
Menurut Abd. Manaf, ketika kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, dia dan ibunya, Wan Minah Wan Yahya, 60, tergamam apabila ternampak haiwan liar setinggi kira-kira 0.5 meter dan 1 meter panjang itu.
“Namun, kebetulan pada masa itu saya membawa mercun bola yang disimpan di dalam poket seluar lalu saya mencucuh sumbu dan melemparkannya untuk menakutkan harimau tersebut.
“Ia menyebabkan harimau berkenaan menghilangkan diri di kawasan semak,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Abd. Manaf berkata, kerana bimbang keselamatan mereka terancam, dia lantas mengajak ibunya pulang ke rumah dan membatalkan hasrat menoreh getah.
Dalam pada itu, beberapa penduduk turut mendakwa terserempak dengan beruang sejak dua minggu lalu menyebabkan ada segelintir daripada mereka enggan turun ke kebun masing-masing ekoran takut diserang haiwan liar berkenaan.
Salah seorang penduduk, Wan Nawang Wan Yahya, 47, mendakwa pernah terserempak dengan seekor beruang ketika mengutip getah sekerap di kebunnya di kampung tersebut baru-baru ini.
Ceritanya, dia hanya tahu mengenai kehadiran binatang itu apabila terdengar bunyi batang pokok getah tumbang sebelum seekor beruang muncul di depannya.