Deo Senjata Baharu



AKSI lincah Deo (kiri) ketika menentang Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

TIDAK sampai lima jam selepas menjejakkan kaki ke bumi Terengganu, penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Deo sudah menjadi idola peminat bola sepak negeri itu.

Semuanya gara-gara aksi menakjubkan yang dipamerkan pemain berusia 26 tahun itu apabila meledak hatrik ketika membantu Terengganu membelasah Perlis 6-0 pada aksi persahabatan kelmarin.

Deo yang sebelum ini bermain untuk kelab Al-Ahly dalam Liga Mesir, tiba di Terengganu kira-kira pukul 4 petang kelmarin untuk diuji dalam usaha memantapkan skuad Penyu bagi menghadapi saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selain mewakili Al-Ahly, Deo juga pernah menyarung jersi New York Red Bulls dan Minnesota Thunder sebelum berhijrah ke DC United dalam Liga Bola Sepak Major Amaerika (MLS).

Ketua jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berkata, beliau sendiri terkejut dengan aksi memberangsangkan yang disajikan Deo sekalipun baharu tiba di Terengganu beberapa jam sebelum perlawanan berlangsung.

“Dia seolah-olah seperti sudah lama berada dalam pasukan apabila berjaya membentuk keserasian yang baik dengan pemain tempatan.

“Malah, Deo juga telah membuktikan keupayaannya selaku penyerang apabila meledak hatrik pada perlawanan itu,” kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Mat Zan menjelaskan, prestasi sebenar Deo hanya akan dipantau sepenuhnya apabila dia diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Kelantan, Sabtu ini.

“Kita sebenarnya akan mencuba beberapa lagi pemain import bagi menguatkan pasukan apabila kami beraksi dalam Piala AFC,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, cabaran Terengganu dalam Liga Malaysia (Liga-M) kini hanya diperkuatkan dengan seorang pemain import iaitu dari Gambia, Mohamadau Suamareh selepas pendaftaran bintang Brazil, Bercio Nunes Machado ditarik balik.

Namun katanya, untuk saingan Piala AFC, kuota bagi pemain import yang dibenarkan adalah tiga orang dengan tarikh akhir pendaftaran adalah pada Februari depan.
sumber

Deo Senjata Baharu Deo Senjata Baharu Reviewed by Admin on 12:18:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.