Amah Hadapi Hukuman Pancung



JAKARTA – Seorang lagi warga Indonesia berdepan dengan hukuman pancung kerana membunuh majikan yang didakwa cuba merogolnya dan dalam usaha menyelamatkannya, Indonesia menghantar bekas Presiden BJ Habibie untuk menyelamatkan pekerja itu, Tuti Tursilawati.

Menurut laporan, majikannya mendera Tuti secara seksual ketika bekerja. Pada 11 Mei 2010, majikannya didakwa cuba merogolnya tetapi Tuti memukulnya dengan kayu untuk mempertahankan diri. Majikannya mati akibat pukulan itu.

Tuti kemudian melarikan diri dengan membawa barangan milik lelaki itu bernilai 31,500 riyal (RM26,484) dan seutas jam tangan.

Ketika siasatan dijalankan pada 18 Mei 2010, Tuti yang ditemani kakitangan Konsul Besar Indonesia di Jeddah, mengaku melakukan pembunuhan dan mencuri.

Ketua Agensi Perlindungan dan Penempatan Pekerja Asing Indonesia (BNP2TKI), Moh Jumhur Hidayat, berkata keluarga mangsa memfailkan petisyen dengan meminta mahkamah Arab Saudi melepaskan Tuti daripada hukuman mati.

Walaupun dengan perantaraan pihak berkuasa Arab Saudi, keluarga terbabit enggan menukar hukuman mati dengan wang.

Sehubungan itu, Jumhur gembira bekas Presiden Indonesia berkenaan melakukan misi untuk menyelamatkan pekerja berusia 27 tahun itu.

Jumhur berkata, dia sudah bertemu Habibie untuk menyampaikan harapannya supaya bekas presiden itu dapat menyelamatkan warga negara mereka daripada tali gantung.

Tuti yang juga ibu tunggal kepada anak lelaki berusia enam tahun berasal dari kampung Cikeusik, Majalengkat, Jawa Barat.

Dia dihantar ke Arab Saudi oleh agensi PT Arunda Bayu pada 5 September 2009 dan bekerja dengan keluarga Suud Malhaq Al Utaibi di bandar Thaif.

Bapanya, Ali Warjuki, yang turut dikenali sebagai Dudu, ke pejabat BNP2TKI di Jakarta pada 5 Oktober lalu ditemani aktivis Kesatuan Pekerja Asing Indonesia (SBMI) bagi menggesa kerajaan berusaha membebaskan Tuti daripada dipancung.

Menurut Jumhur, Habibie ke Riyadh, Arab Saudi pada Sabtu dan akan bertemu ketua Pasukan Bertindak bagi Perlindungan Pekerja Asing Indonesia di Riyadh, Maftuh Basyuni.

Pada 6 Oktober 2011, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menghantar surat kepada pemerintah Arab Saudi meminta bantuan mereka supaya memujuk keluarga majikan memberi keampunan kepada Tuti. – Agensi

Amah Hadapi Hukuman Pancung Amah Hadapi Hukuman Pancung Reviewed by Admin on 11:16:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.