Alasan Ambil Telefon Elak Ditangkap Khalwat



LEDANG – “Saya mahu ambil telefon bimbit,” itu helah seorang wanita untuk melepaskan diri daripada ditahan ketika dicekup berkhalwat oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) di sebuah rumah di Parit Bunga di sini, awal pagi kelmarin.

Ketika serbuan dibuat kira-kira jam 3.30 pagi itu, wanita berusia 23 tahun terbabit dan pasangannya warga Indonesia ditahan kerana didapati berdua-duaan dalam bilik di rumah berkenaan.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh binaan sudah setahun setengah berhijrah ke negara ini dan baru sebulan mengenali wanita itu ketika membeli pau di gerainya yang terletak kira-kira 15 meter dari rumahnya.
Sejak itu, mereka saling bertukar-tukar nombor telefon bimbit dan wanita itu sering dilihat penduduk berhampiran datang ke rumah lelaki terbabit pada awal pagi untuk bersembang.

Kadi Daerah Ledang, Su­laiman Maidin berkata, berda­sarkan aduan orang awam, sepasukan anggota diketuai Pe­­gawai Penguat kuasa, Mohd Zainal Kadiran dan dibantu penduduk kampung memeriksa rumah tersebut.

Menurutnya, PPADL terpaksa memecahkan pintu rumah itu apabila pasangan terbabit enggan membuka pintu setelah memberi salam dan menunggu kira-kira 15 minit.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita tidak berbaju dan berkemban sedang sembunyi dalam bilik.

“Manakala pasangannya tidak berbaju dan berseluar berada di dapur dan dipercayai cubaan untuk melarikan diri setelah menyedari kehadiran penguat kuasa,” katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hu­bun­gan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dike­nakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Alasan Ambil Telefon Elak Ditangkap Khalwat Alasan Ambil Telefon Elak Ditangkap Khalwat Reviewed by Admin on 4:17:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.