MB T'ganu: Tiada Rumah Mampu Milik Di Kawasan BN Kalah


Kerajaan Negeri Terengganu tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang BN kalah dalam pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata rakyat di kawasan Parlimen dan DUN berkenaan perlu meminta bantuan daripada wakil rakyat yang mereka pilih.

"Kita akan pertimbangkan cara lain, namun buat masa ini memang tiada cadangan untuk meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan yang (BN) kalah.

"Selama ini kita (BN Terengganu) telah mengambil alih tugas wakil rakyat PAS dalam menyelesaikan masalah harian mereka (rakyat) dan kali ini biarlah rakyat di kawasan itu mengadu kepada wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu di Istana Maziah di sini hari ini.

Ahmad bagaimanapun berkata BN Terengganu akan terus melaksanakan agenda pembangunan seperti yang dilakarkan dalam Aku Janji BN negeri.

"Pembangunan akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan DUN yang kita (BN) kalah, kita akan bina di kawasan yang dimenangi BN," katanya.

Antara Aku Janji tambahan BN Terengganu dalam pilihan raya lalu ialah menarik pelaburan lebih RM25 bilion dalam industri petrokimia, bioteknologi dan keluli dengan lebih 10,000 peluang pekerjaan, menaik taraf Institut Al Quran Terengganu sebagai sebuah kolej universiti dan menjadikan Tasik Kenyir sebagai Hab Ekopelancongan dan kawasan bebas cukai.

Ahad lalu BN Terengganu mengekalkan mandat pemerintahan di negeri itu apabila memenangi 17 kerusi DUN manakala PAS (14) dan PKR (satu).

Daripada lapan kawasan Parlimen, BN menang di Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala PAS menang di Dungun, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu.

- Bernama
Baca Lagi

Shahrizat Sifatkan Perogol Kanak-Kanak Sebagai Binatang



KLANG - Pelaku kes bunuh dan rogol kanak-kanak berusia 11 tahun di Bukit Tinggi di sini semalam telah sifatkan sebagai binatang oleh Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata jenayah kejam seperti itu perlu dibendung supaya ia tidak berulang pada masa akan datang, terutamanya terhadap kanak-kanak dan wanita.

"Mangsa baru berusia 11 tahun, tergamak mereka lakukan perbuatan ini, saya tidak tahu ini manusia atau binatang," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa di sini hari ini.

Semalam, mayat seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11, dipercayai mangsa kes bunuh ditemui terbaring di medan letak kereta, Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Md Yusop berkata pemeriksaan awal pihak hospital mendapati Nur Amyliana Shuhada meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya, kecuali kesan pendarahan di bahagian kemaluan mangsa.

Polis bertindak menahan dua suspek berusia 19 dan 24 tahun di sekitar tempat kejadian sejurus menerima laporan mengenai kes itu dan mereka direman tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), berharap pihak polis akan melakukan siasatan secepat mungkin dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan bagi memastikan mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

"Ibu mangsa ada beritahu saya tadi, beliau mahu supaya siasatan dilakukan secepat mungkin dan mendakwa penjenayah supaya kejadian sama tidak menimpa mangsa lain," katanya.

Beliau berkata, kawasan kejadian merupakan kawasan gelap terutamanya pada waktu petang dan malam sebagaimana dimaklumkan Skuad Sayang Wanita Umno di kawasan itu.

"Kawasan gelap bukan alasan, apa yang pasti kita mahu Malaysia selamat terutama dari kejadian seperti ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad ketika dihubungi berkata laporan bedah siasat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mendapati Nur Amyliana Shuhada mati akibat lemas dan berkemungkinan suspek menggunakan alat seperti tuala atau bantal.

"Doktor turut mengesahkan tiada kesan kecederaan ditemui pada anggota badan tetapi berdasarkan kesan pendarahan di bahagian kemaluannya, mangsa telah dirogol sebelum dibunuh," katanya. - Bernama
Baca Lagi

Akhbar Taiwan Gambarkan Najib Seperti Ahli Silap Mata


Lima akhbar antarabangsa siar berita 'Blackout' di Kelana Jaya yang dihadiri lebih 100,000 orang rakyat Malaysia yang menuntut ketelusan pilihanraya. Rakyat Malaysia yang menyokong reformasi mendakwa telah memenangi pilihanraya umum ke 13 yang berlangsung pada 5.5.2013 tetapi kemenangan itu dinafikan memalui beberapa kejadian 'blackout di beberapa pusat pengiraan undi.

Dalam kelima-lima akhbar itu akhbar Taiwan adalah yang paling sinis. Akhbar itu meletakkan gambar PM Najib dengan gaya seorang ahli silap mata, Segalanya dipercayai ada kaitan dengan peristiwa 'blackout' di beberapa pusat mengundi yang mengakibatkan calon PR yang telah menang bertukar menjadi kalah sebaik sahaja kiraan semula undi selepas 'blackout'






HarakahDaily 
Baca Lagi

SPR: Daftar Pemilih PRU13 Antara Yang Terbersih



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan pelbagai penambahbaikan bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang berakhir Ahad lepas, termasuk menyediakan Daftar Pemilih 'terbersih' pernah dilakukan badan bebas itu.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Daftar Pemilih yang digunakan dalam PRU13 diwartakan melalui proses pembersihan terperinci dan semakan dalam talian dengan rekod warganegara dan alamat terkini pemilih mengikut pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Oleh kerana sistem pendaftaran pemilih menggunakan nombor kad pengenalan 12 angka yang unik sebagai 'identifier' (pengenal pasti) pendaftaran, maka mustahil terdapat pendaftaran berganda dalam Daftar Pemilih PRU13," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Abdul Aziz berkata melalui sistem pendaftaran itu, tiada ruang bagi warga asing sama ada dari Bangladesh, Indonesia, China atau India dapat mendaftar sebagai pengundi tambahan.

Justeru, dakwaan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa SPR tidak melaksanakan apa-apa penambahbaikan pada PRU13 merupakan pembohongan besar dan fitnah semata-mata, bertujuan mengelirukan rakyat, katanya.

Selain itu, beliau berkata Daftar Pemilih yang digunakan dalam PRU13 adalah sah, telah diwarta dan dimuktamadkan, sekali gus adalah mustahil untuk memasukkan nama-nama pengundi tambahan.

"Oleh demikian, dakwaan kononnya terdapat 40,000 warga Bangladesh yang dibawa masuk untuk mengundi dalam PRU13 adalah tidak berasas dan fitnah semata-mata, kerana Daftar Pemilih yang diwartakan adalah muktamad," tegas Abdul Aziz.

Katanya SPR turut melaksanakan proses pengundian awal pada 30 April lepas, melibatkan 235,826 pengundi daripada kalangan polis dan tentera serta pasangan masing-masing bagi menggantikan proses pengundian pos.

"Selaras dengan tuntutan utama parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan, SPR turut memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada PRU13 sebagai elemen tambahan kepada prosedur pengundian bagi mengelak cubaan mengundi dua kali mana-mana pihak," katanya.

Dari segi tempoh berkempen pula, SPR melakukan penambahbaikan dengan memperuntukkan tempoh 15 hari berkempen bermula 20 April hingga Ahad lepas, berbanding 13 hari pada PRU2008, katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz turut menjelaskan bahawa sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia adalah berlandaskan kemenangan mengikut majoriti mudah dan kemenangan perwakilan mengikut kawasan.

Beliau berkata berasaskan sistem itu, yang diguna pakai di Malaysia sejak PRU pertama pada 1959, menetapkan parti yang berhak membentuk kerajaan bukan berasaskan jumlah undi popular yang diperoleh, sebaliknya jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi.

"Dalam konteks ini, walaupun parti pembangkang memperoleh jumlah besar undi iaitu sebanyak 5,623,984, mereka hanya memenangi 89 kerusi bahagian pilihan raya.

"Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) memperoleh jumlah undi sebanyak 5,237,699, namun dari sudut jumlah bahagian pilihan raya, BN memenangi sebanyak 133 kerusi Parlimen dan berhak membentuk kerajaan di peringkat pusat," katanya.

"Sistem ini juga digunakan bagi menentukan parti yang berhak untuk menubuhkan kerajaan baik di peringkat pusat atau pun negeri, iaitu parti yang mendapat jumlah perwakilan (kerusi) terbanyak walaupun memperoleh majoriti satu kerusi berhak membentuk kerajaan," katanya menambah sistem itu dikenali sebagai 'First Past The Post'.

Bernama
Baca Lagi

Perkasa Tolak Perletakan Jawatan Ibrahim Ali



KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini sebulat suara menolak peletakan jawatan Datuk Ibrahim Ali sebagai presiden pertubuhan itu.

Sebaliknya, Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa bersetuju melanjutkan tempoh cuti beliau sehingga Persidangan Agung Tahunannya sebelum Disember ini.

Timbalan Presidennya Datuk Abd Rahman Abu Bakar berkata ADT dan semua ahli pertubuhan itu berharap Ibrahim terus memimpin Perkasa bagi meneruskan perjuangan mempertahankan agenda Melayu dan Islam yang semakin mencabar.

"Kami mengharapkan beliau segera kembali meneruskan perjuangan dan kami berdiri teguh di belakang kepimpinannya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat ADT di sini.

Pada Selasa lepas, Ibrahim, yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad lepas, menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada setiausaha agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali dengan alasan mahu memberi laluan kepada pemimpin lain menerajui pertubuhan itu.

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata Perkasa mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas kejayaan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat rakyat dalam PRU13. - Bernama
Baca Lagi

Pakatan Sahkan Khalid MB Selangor



KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akhirnya mencapai konsensus bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) akan dilantik menjadi Menteri Besar Selangor buat penggal kedua ekoran pencapaian cemerlang Selangor sepanjang tempoh penggal lalu.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution, PKR telah menamakan dua orang sebagai calonnya untuk jawatan itu.

Berdasarkan nama itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah bersetuju melantik Khalid untuk meneruskan perkhidmatannya, maka Khalid dipilih.

Tengahari tadi, Pengerusi PKR Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kesal dengan cara perlantikan ini kerana ia tidak melalui prosedur mesyuarat.

Namun beliau menafikan akan meletakkkan jawatannya dalam parti atau ADUN dan anggota Parlimen sebagaimana disebarkan sebelum ini.

Beliau menyifatkan ianya sebagai kerja-kerja Umno.

Sebelum ini, Tuan Guru Abdul Hadi dan Lim Guan Eng telah menghantar surat kepada Tuanku Sultan Selangor untuk bersetuju perlantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Berikut adalah kenyataan penuh Datuk Saifudin.

Parti KEADILAN Rakyat memanjatkan rasa syukur kami ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan Pakatan Rakyat mempertahankan negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kami dan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat terhadap para pengundi khususnya dan rakyat negeri Selangor amnya kerana telah memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua.

Bagi pihak KEADILAN, saya juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada pimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor, juga kepada jentera ketiga-tiga Parti KEADILAN, PAS dan DAP yang telah bertungkus lumus dan penuh komited dalam amanah yang dipikul untuk memastikan kepercayaan rakyat Selangor terus diberi kepada Pakatan Rakyat.

Kejayaan ini juga disambut dengan penuh rasa tawaddhu’ dan rendah diri, terutama dalam proses untuk menamakan seorang Menteri Besar bagi memimpin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam pentadbiran negeri. KEADILAN sesungguhnya amat berbesar hati dan menghormati sokongan oleh PAS dan DAP yang telah bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Selangor dinamakan dari Parti KEADILAN Rakyat.

Berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat, KEADILAN telah mengangkat dua (2) nama dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri KEADILAN yang berjaya memenangi kerusi mereka dalam pilihanraya umum Negeri Selangor baru-baru ini kepada pimpinan PAS dan DAP untuk dibincang secara bersama dengan KEADILAN bagi memilih salah seorang daripada mereka untuk dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor.

PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda perubahan rakyat dapat diteruskan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Sekian, terima kasih.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

SETIAUSAHA AGUNG

PARTI KEADILAN RAKYAT

HarakahDaily
Baca Lagi

Pakatan Rakyat Perak Buat Petisyen 6 Kawasan



KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat Perak akan mengemukakan petisyen di mahkamah terhadap keputusan di enam kawasan pilihan raya di negeri itu.

Difahamkan kawasan-kawasan tersebut adalah Dewan Undangan Negeri (Dun) Manjoi, Manong, Lubuk Merbau, Kamunting, Pasir Panjang dan Selama.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, petisyen tersebut akan dibuat berikutan terdapat bukti berlakunya penipuan pilihan raya.

Antara penipuan dikesan termasuk warga asing boleh mengundi, orang lain sudah mengundi untuk pengundi yang sah, dan keraguan peratus undi rosak yang lebih tinggi berbanding undi majoriti.

Nizar memberitahu perkara itu ketika berucap di majlis munajat kesyukuran HALWA Bukit Gantang di Markaz Pas Kawasan Bukit Gantang semalam.

Turut hadir pada majlis itu Naib Yang DiPertua PAS Bukit Gantang Abdul Rahim Ismail.

Pada PRU13 lalu, BN menang 31 kerusi Dun Perak manakala Pakatan Rakyat memperoleh 28 kerusi.

HarakahDaily
Baca Lagi